Skip to main content

Dunia

Andy Burnham sah pemimpin baharu Labour, bakal PM Britain

Andy Burnham, British member of parliament (MP) for Makerfield, arrives for a radio interview on LBC's "Tonight with Andrew Marr", in London, Britain, July 2, 2026. REUTERS/Isabel Infantes/File Photo
Burnham (foto) menjadi calon tunggal selepas memperoleh sokongan 379 daripada 403 Ahli Parlimen Labour, sekali gus mengetepikan kemungkinan cabaran daripada mana-mana pesaing lain. -Gambar fail

LONDON: Ahli Parlimen Makerfield, Andy Burnham, disahkan sebagai pemimpin baharu Parti Labour pada Jumaat dan dijangka dilantik sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) pada Isnin depan.

Pelantikan bekas Datuk Bandar Greater Manchester itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan (NEC) Labour, Shabana Mahmood, pada persidangan khas parti yang berlangsung di London.

Burnham, 56, menjadi calon tunggal selepas memperoleh sokongan 379 daripada 403 Ahli Parlimen Labour, sekali gus mengetepikan kemungkinan cabaran daripada mana-mana pesaing lain.

Beliau menggantikan Keir Starmer yang mengumumkan peletakan jawatan bulan lalu susulan tekanan politik dan kemerosotan sokongan terhadap parti berkenaan selepas pilihan raya tempatan pada Mei.

Dalam ucapan sulungnya sebagai pemimpin parti, Burnham berjanji membawa pendekatan berasaskan perpaduan dan harapan serta memperbaiki kelemahan struktur ekonomi yang menurutnya menjejaskan kebajikan rakyat biasa.

Beliau turut memberi penekanan kepada agenda pembaharuan ekonomi, peningkatan kawalan awam terhadap sektor-sektor strategik dan pembinaan rumah mampu milik secara besar-besaran.

Bagaimanapun, Starmer akan terus menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga Isnin sebelum menyerahkan peletakan jawatannya secara rasmi kepada Raja Charles III.

Selepas itu, Raja Charles III dijangka mengundang Burnham untuk membentuk kerajaan baharu pada hari yang sama.

Sistem demokrasi berparlimen United Kingdom membolehkan parti pemerintah menukar pemimpin parti dan perdana menteri tanpa perlu mengadakan pilihan raya umum baharu, selagi parti berkenaan masih mempunyai majoriti di Parlimen.

Pilihan raya umum seterusnya hanya perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2029.

 

Must Watch Video

Advertisement