GEORGETOWN: Sekurang-kurangnya 27 orang disahkan maut manakala 83 lagi masih hilang selepas sebuah feri penumpang terbalik di perairan Guyana pada malam Sabtu.
Perdana Menteri Guyana, Mark Phillips, berkata seramai 69 mangsa berjaya diselamatkan setakat ini dalam tragedi tersebut.
Menurut pihak berkuasa, senarai penumpang asal yang merekodkan 133 individu didapati tidak lengkap atau tidak tepat, sekali gus menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Feri MV Barima yang dibina pada 1939 itu dilaporkan dalam perjalanan dari Georgetown ke Port Kaituma sebelum terbalik dan karam.
Pihak berkuasa tempatan telah memulakan siasatan jenayah terhadap kru feri serta pegawai penguat kuasa maritim susulan dakwaan wujud unsur kecuaian dan kemungkinan lebihan muatan.
Kawasan operasi SAR kini diperluaskan sehingga meliputi kira-kira 1,070 kilometer persegi dengan bantuan tentera Perancis serta komuniti nelayan tempatan.
Kerajaan Guyana turut berikrar menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan feri berkenaan, namun tumpuan utama ketika ini adalah untuk mengesan mangsa yang masih hilang.