Skip to main content

Dunia

13 maut, puluhan cedera dalam letupan loji gas Qatar

This satellite image from Planet Labs PBC shows the Ras Laffan industrial area in Qatar on March 6, 2026. (Planet Labs PBC via AP)
Imej satelit daripada Planet Labs PBC ini menunjukkan kawasan perindustrian Ras Laffan di Qatar. - Foto AP

DOHA: Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh manakala 66 lagi cedera dalam letupan di kemudahan gas terbesar Qatar di Zon Perindustrian Ras Laffan, Ahad malam.

Kementerian Dalam Negeri Qatar memaklumkan insiden itu berpunca daripada “kemalangan teknikal” yang berlaku di kemudahan bekalan gas Barzan, sebahagian daripada hab pemprosesan gas asli cecair (LNG) terbesar dunia.

Letupan kuat itu menyebabkan langit di sekitar kawasan bertukar jingga, selain gegarannya turut dirasai hingga ke pusat bandar Doha, lebih 70 kilometer dari lokasi kejadian, sehingga mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.

Menteri Tenaga Qatar, Saad Sherida al-Kaabi, menegaskan insiden tersebut adalah kemalangan industri dan bukan berpunca daripada sabotaj atau serangan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa letupan itu tidak menjejaskan eksport tenaga negara.

“Ini adalah satu kemalangan dan bukan tindakan sabotaj atau bermusuhan,” katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, kerajaan sedang menyiasat punca sebenar letupan dan memastikan tiada risiko kepada alam sekitar akibat insiden berkenaan.

Letupan dilaporkan berlaku ketika pekerja cuba memulakan semula operasi di loji tersebut yang sebelum ini dihentikan bagi kerja penyelenggaraan dan akibat kerosakan ketika konflik serantau.

Menurut al-Kaabi, pengeluaran di loji berkenaan dihentikan sepenuhnya sejak Disember 2025 dan hanya disambung semula dua hari sebelum kejadian.

Kemudahan Ras Laffan sebelum ini turut mengalami kerosakan besar susulan serangan peluru berpandu Iran dalam konflik yang melanda rantau itu awal tahun ini.

Al-Kaabi mengesahkan kesemua mangsa yang terbunuh adalah warga India dan Pakistan, manakala mereka yang cedera terdiri daripada pelbagai negara lain.

Kedutaan India di Doha memaklumkan pihaknya sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Qatar bagi membantu keluarga mangsa yang terjejas.

“Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam insiden menyedihkan ini,” menurut kenyataan kedutaan tersebut.

Syarikat tenaga milik kerajaan, QatarEnergy, mengesahkan letupan berlaku pada petang 21 Jun dan memaklumkan pasukan respons kecemasan digerakkan segera untuk memadam kebakaran.

Kebakaran kini dilaporkan berjaya dikawal sepenuhnya.

Ras Laffan merupakan pelabuhan buatan terbesar di dunia serta pusat eksport LNG terbesar global yang memainkan peranan penting dalam bekalan tenaga dunia.

Walaupun pihak berkuasa memberi jaminan eksport tidak terjejas, kerosakan pada fasiliti berkenaan dijangka memberi kesan terhadap pengeluaran dalam jangka sederhana.

QatarEnergy sebelum ini memaklumkan kerja pembaikan akibat kerosakan terdahulu boleh mengurangkan pengeluaran LNG sehingga 12.8 juta tan bagi tempoh tiga hingga lima tahun.

Qatar, antara pembekal utama gas asli dunia, sebelum ini turut menghentikan sebahagian besar pengeluaran semasa konflik serantau, sekali gus menjejaskan hampir satu perlima bekalan LNG global sebelum penghantaran mula disambung semula baru-baru ini.

Siasatan penuh kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk faktor teknikal yang mungkin mencetuskan letupan tersebut.

 

Must Watch Video

Advertisement