Skip to main content

Sukan

Mbappe pimpin Perancis tewaskan Iraq 3-0 dalam perlawanan tertangguh akibat ribut

France's Ousmane Dembele (7) celebrates with Kylian Mbappe (10) after scoring their third goal during the World Cup Group I soccer match between France and Iraq in Philadelphia, Monday, June 22, 2026. (AP Photo/Derik Hamilton)
Ousmane Dembele (7) dari Perancis meraikan jaringan bersama Kylian Mbappe (10) selepas menjaringkan gol ketiga pasukan dalam perlawanan bola sepak Piala Dunia Kumpulan I antara Perancis dan Iraq di Philadelphia. - Foto AP

PHILADELPHIA: Kylian Mbappe menjaringkan dua gol untuk membantu Perancis menewaskan Iraq 3-0 dalam aksi Kumpulan I Piala Dunia yang terjejas akibat kelewatan panjang susulan ribut petir, pada Isnin.

Perlawanan tersebut menyaksikan babak kedua tertangguh hampir dua jam selepas cuaca buruk melanda kawasan stadium, menyebabkan pemain dan penonton terpaksa berlindung.

Mbappe membuka jaringan seawal minit ke-14 menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran Michael Olise.

Penyerang itu kemudian menambah gol kedua hampir tiga jam selepas gol pertama, memanfaatkan kesilapan Iraq ketika sepakan gol, sebelum menyempurnakan peluang mudah hasil bantuan Ousmane Dembele.

Gol tersebut meletakkan jumlah jaringan Mbappe kepada 16 gol sepanjang sejarah Piala Dunia, menyamai rekod penyerang legenda Jerman, Miroslav Klose.

Secara keseluruhan, empat gol yang dijaringkan Mbappe setakat ini meletakkannya hanya satu gol di belakang Lionel Messi dalam saingan Perebutan Kasut Emas 2026.

Pemenang dua kali Piala Dunia itu menambah satu lagi gol menerusi Dembele pada babak kedua, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di puncak kumpulan dengan enam mata daripada dua perlawanan.

Perancis kini hampir pasti layak ke pusingan 32 terbaik, bergantung kepada keputusan perlawanan lain dalam kumpulan.

Sementara itu, Iraq yang tewas dalam dua perlawanan masih mempunyai peluang tipis untuk layak sebagai antara pasukan tempat ketiga terbaik.

Bagaimanapun, mereka perlu mencatat kemenangan dalam perlawanan terakhir menentang Senegal serta mengharapkan keputusan memihak kepada mereka.

Lebih memburukkan keadaan, penyerang utama Aymen Hussein terpaksa dikeluarkan pada minit ke-26 akibat kecederaan.

Perlawanan berlangsung dalam keadaan luar biasa apabila ribut petir memaksa pengadil menghentikan permainan sebaik tamat babak pertama.

Penonton diarahkan berlindung, manakala pemain hanya kembali memanaskan badan selepas kira-kira satu jam 40 minit.

Permainan hanya disambung semula selepas pihak stadium membersihkan air bertakung di padang, sekali gus melambatkan lagi sepak mula babak kedua.

Walaupun terganggu cuaca, Perancis mengekalkan dominasi sepanjang aksi, dengan Iraq lebih banyak bertahan dan bergelut untuk menyaingi kekuatan lawan.
 

 

Must Watch Video

Advertisement