Skip to main content

Malaysia

Malaysia terus guna platform antarabangsa ke arah penyelesaian konflik Asia Barat - Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 23 Jun -- Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memanfaatkan pelbagai platform antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majlis Keselamatan PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), BRICS dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke arah penyelesaian tuntas terhadap konflik di Asia Barat.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia merupakan antara negara terawal menyatakan sokongan terhadap memorandum persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dimeterai pada Rabu lepas, selain terus memantau perkembangan rundingan susulan bagi memastikan kestabilan di rantau itu dapat dicapai.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata Malaysia juga akan terus memberikan sokongan moral dan memainkan peranan secara aktif dalam usaha antarabangsa untuk meredakan ketegangan yang mengakibatkan krisis bekalan global susulan penutupan Selat Hormuz. 

“Alhamdulillah, akhirnya AS dan Iran telah bersetuju menandatangani MoU, yang memperuntukkan tempoh 60 hari bagi kedua-dua negara itu berunding untuk meratifikasi perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam perjanjian berkenaan.

“Sebanyak 14 perkara terkandung dalam MoU tersebut, termasuk usaha pembinaan semula infrastruktur Iran yang musnah (bernilai USD300 bilion), pembukaan Selat Hormuz dan pengunduran penuh (Israel), termasuk di Lubnan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau berkata Malaysia juga mengambil pendekatan secara tidak langsung, termasuk memberikan sokongan kepada negara-negara terlibat dengan konflik itu, serta mengadakan perbincangan dengan bakal Presiden Perhimpunan Agung PBB berhubung usaha memperkukuh sokongan masyarakat antarabangsa terhadap penyelesaian konflik di rantau berkenaan.

“Saya menghubungi sendiri rakan sejawat dari Pakistan yang merupakan tuan rumah (rundingan) AS dan Iran, dan juga rakan sejawat dari Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi memberikan sokongan moral dan bahawa kita akan terus menyokong beberapa langkah yang nak diambil demi konflik di Asia Barat ini segera ditamatkan,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata rejim Zionis dilihat tidak mahu usaha perdamaian itu berjaya dan terus melakukan tindakan yang mengancam keamanan serta kestabilan di rantau berkenaan.

Justeru, Mohamad mahu meneruskan tekanan antarabangsa terhadap Israel agar menghentikan tindakan ketenteraan di Gaza, Tebing Barat, Lubnan dan wilayah lain.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran), beliau berkata antara cabaran utama dalam memberikan tekanan kepada Israel ialah penggunaan kuasa veto AS di Majlis Keselamatan PBB. 

“Mereka telah menggunakan kuasa veto sebanyak 31 kali sejak daripada mula sampai sekarang, 31 kali digunakan untuk melindungi sahabatnya Rejim Zionis Israel,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement