KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-149 pada Selasa menumpukan usaha memperkukuh dan memulihkan ekonomi negara susulan ketidaktentuan global akibat konflik Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tumpuan lain termasuk kesiapsiagaan negara berdepan fenomena El Nino yang dijangka memberi kesan terhadap bekalan air, sektor pertanian, keselamatan makanan serta meningkatkan risiko cuaca panas melampau dan jerebu.
“Mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-149 di Bangunan Parlimen hari ini.
“Penekanan turut diberikan kepada usaha memastikan setiap dasar dan inisiatif dilaksanakan secara lebih bersepadu, cekap dan berpaksikan kepentingan rakyat, di samping memperkukuh daya saing ekonomi, menarik pelaburan berkualiti serta menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semangat kebersamaan menerusi mesyuarat itu akan terus memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Insya-Allah, semangat kebersamaan dan kesepakatan yang dizahirkan menerusi mesyuarat ini akan terus memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri demi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh seluruh rakyat,” ujarnya.