Skip to main content

Malaysia

Kelindan lori tidak mengaku rompak enam kedai serbaneka bersenjatakan pisau

https://www.sinarharian.com.my/article/784914/berita/semasa/kelindan-lori-tidak-mengaku-rompak-enam-kedai-serbaneka-bersenjatakan-pisau
Saiful Izzham mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan ke atasnya. -Foto Sinar Harian

MELAKA: Seorang kelindan lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Selasa atas enam pertuduhan melakukan rompakan dengan sebilah pisau di beberapa kedai serbaneka 24 jam sekitar daerah Melaka Tengah awal bulan ini.

Tertuduh, Mohammad Saiful Izzham Ismail, 27, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan terhadap enam pekerja wanita di premis 7-Eleven dan Café by 7-Eleven di Taman Desa Molek, Taman Seri Duyong, Taman Desa Duyong, Taman Sri Selendang, Taman Pertam Jaya serta Komersial Exora Bukit Beruang antara jam 4 pagi hingga 5.30 pagi pada 5 dan 6 Jun lalu.

Dalam semua kejadian itu, dia didakwa menggunakan sebilah pisau sebagai senjata maut ketika melakukan rompakan.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Amritpal Singh, bagaimanapun memohon jaminan yang lebih rendah atas alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah keluarga.

Menurut peguam, tertuduh yang berkahwin tahun lalu baru sahaja kehilangan pekerjaan selain perlu menanggung ibunya yang menghidap tekanan darah tinggi dan bapanya yang mempunyai masalah jantung.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM36,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan 28 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pada 13 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan seorang kelindan lori nekad melakukan samun di enam kedai serbaneka 24 jam sekitar daerah Melaka Tengah dipercayai akibat terdesak untuk melangsaikan hutang ah long.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas berkata, suspek menyasarkan pekerja wanita yang bertugas di kaunter bayaran dengan berpura-pura membuat pembayaran sebelum mengacukan pisau kepada mangsa untuk mendapatkan wang.

Hasil tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan kesemua enam kes samun melibatkan kedai serbaneka 24 jam dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan kira-kira RM1,500. -Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement