EAST RUTHERFORD: Erling Haaland menjaringkan dua gol untuk membantu Norway menewaskan Senegal 3-2 sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 28 tahun.
Dalam perlawanan Kumpulan I yang berlangsung di New Jersey, Norway mempamerkan aksi menyerang berkesan meskipun berdepan tentangan sengit daripada Senegal, yang dianggap antara harapan terbaik Afrika dalam kejohanan itu.
Senegal memulakan perlawanan dengan agresif dan berjaya mengekang pergerakan Haaland pada separuh jam pertama permainan.
Namun, menjelang tamat babak pertama, pertahanan Senegal mula goyah, membuka ruang kepada Norway untuk mendahului menerusi jaringan Marcus Pedersen yang masuk sebagai pemain gantian.
Kesilapan kapten Senegal, Kalidou Koulibaly, dalam mengeluarkan bola memberi peluang kepada Pedersen untuk melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan penjaga gol, Edouard Mendy.
Norway menggandakan kelebihan sebaik babak kedua bermula apabila Haaland menyempurnakan hantaran Martin Odegaard dengan rembatan padu ke penjuru atas gawang.
Penyerang berusia 25 tahun itu kemudian menambah gol kedua peribadinya 10 minit kemudian menerusi sepakan voli, menjadikan jumlah golnya empat dalam dua perlawanan setakat ini.
Walaupun barisan pertahanan Senegal kerap melakukan kesilapan, mereka tetap memberi ancaman melalui serangan balas pantas.
Ismaila Sarr berjaya menjaringkan dua gol, termasuk satu pada masa kecederaan, namun ia tidak mencukupi untuk menghalang kemenangan Norway.
Kemenangan itu, digabungkan dengan kemenangan 4-1 Norway ke atas Iraq sebelum ini, memastikan mereka mara ke pusingan 32 terbaik buat pertama kali sejak 1998.
Selepas Perancis turut menewaskan Iraq 3-0, Kumpulan I menjadi kumpulan pertama yang menyaksikan dua pasukan, Norway dan Perancis, mengesahkan kemaraan awal ke peringkat kalah mati.
Senegal pula masih berpeluang tipis untuk layak sebagai salah satu pasukan tempat ketiga terbaik.
Pemain sayap Norway, Alexander Sorloth, menyifatkan kemenangan itu sebagai detik penuh emosi.
“Kami berjaya layak dan beraksi jauh lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini. Senegal adalah pasukan hebat, tetapi kami tampil lebih baik,” katanya.
Haaland pula menegaskan pasukannya perlu kekal realistik walaupun prestasi cemerlang setakat ini.
“Layak ke Piala Dunia selepas 28 tahun dan mara dari peringkat kumpulan adalah pencapaian besar. Tetapi untuk menjuarai kejohanan, itu cerita lain,” katanya.
Perlawanan turut terjejas oleh cuaca tidak menentu dengan hujan lebat dan ribut petir di kawasan New York dan New Jersey sebelum aksi bermula.
Walaupun permainan dapat diteruskan, amaran keselamatan dikeluarkan selepas tamat perlawanan berikutan keadaan cuaca yang kembali buruk.
Norway kini akan bertemu Perancis dalam aksi terakhir kumpulan bagi menentukan juara Kumpulan I.