Skip to main content

Bisnes

Weststar meterai kerjasama strategik dengan RTI esok

LOGO weststar defence & RTI Australia_Astro AWANI
Majlis pemeteraian perjanjian itu dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional Canberra sempena Defence+Industry Conference 2026.

CANBERRA: Kumpulan Weststar menerusi Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. akan memeterai kerjasama strategik dengan syarikat aeroangkasa dan teknologi pertahanan Australia, Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI), pada Rabu.

Majlis pemeteraian perjanjian itu dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Nasional Canberra sempena Defence+Industry Conference 2026.

Kerjasama tersebut dijangka menggabungkan kekuatan industri serta pengalaman Weststar dengan kepakaran RTI dalam bidang aeroangkasa dan pembangunan sistem teknologi canggih.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak turut dijangka memperluas kolaborasi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi, latihan teknikal, pembangunan modal insan serta pengukuhan keupayaan industri berteknologi tinggi.

Selain itu, inisiatif berkenaan turut dijangka memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Australia, selaras dengan aspirasi Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Australia (Comprehensive Strategic Partnership, CSP), khususnya dalam aspek kemakmuran ekonomi, kerjasama teknologi dan keselamatan serantau.

Selain itu, Weststar dan RTI dijangka meneroka pelbagai peluang kerjasama merangkumi penyelidikan yang diterajui industri, pemindahan teknologi dan pengetahuan, latihan teknikal lanjutan serta kolaborasi dengan institusi pengajian tinggi dan pemain industri di kedua-dua negara.

Kerjasama strategik itu juga dijangka menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, meningkatkan penyertaan industri tempatan dalam sektor teknologi tinggi serta mewujudkan nilai ekonomi yang mampan kepada Malaysia dan Australia.

Pemeteraian perjanjian itu dilihat sebagai satu lagi langkah signifikan dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Australia, khususnya dalam sektor aeroangkasa, teknologi maju dan pembangunan industri strategik.

Kumpulan Weststar akan diwakili Pengasas dan Pengarah Urusannya, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim.

Majlis itu turut disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; serta wakil kerajaan Australia.
 

Topic Berkaitan

Must Watch Video

Advertisement