Skip to main content

Bisnes

SPIEF jadi ruang dialog bermakna ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik

Pengarah SPIEF merangkap Timbalan Pengarah Yayasan Roscongress, Alexey Valkov. - Astro AWANI
Pengarah SPIEF merangkap Timbalan Pengarah Yayasan Roscongress, Alexey Valkov. - Astro AWANI

ST PETERSBURG: Ketika dunia semakin terpecah akibat persaingan kuasa besar, sekatan ekonomi dan ketegangan geopolitik, Forum Ekonomi Antarabangsa St Petersburg (SPIEF) terus memainkan peranan sebagai platform dialog yang merapatkan jurang antara negara dan komuniti perniagaan global.

Pengarah SPIEF merangkap Timbalan Pengarah Yayasan Roscongress, Alexey Valkov berkata, keunikan forum itu tidak hanya terletak pada skala penganjurannya, malah gabungan warisan budaya, kekayaan sejarah serta infrastruktur bandar St Petersburg menjadikannya berbeza daripada platform ekonomi antarabangsa lain yang sering dibandingkan dengannya.

Menurut beliau, SPIEF bukan sekadar forum perniagaan, tetapi sebuah ruang yang membolehkan perbincangan lebih luas merangkumi isu geopolitik, dasar negara, kebudayaan, seni dan perubahan landskap global.

Dalam keadaan dunia yang berdepan pelbagai ketidaktentuan, beliau menegaskan keperluan untuk mengekalkan ruang dialog terbuka yang membolehkan pertukaran pandangan secara bebas antara pelbagai pihak berkepentingan.

“Adalah penting untuk mempunyai platform yang membolehkan orang ramai bertukar idea secara terbuka dan bertemu dengan wakil perniagaan serta pembuat keputusan dari pelbagai negara,” katanya dalam wawancara bersama Astro AWANI di sela-sela SPIEF 2026.

Beliau turut menekankan penyertaan meluas negara-negara dari Asia, Afrika dan Amerika Latin, termasuk Malaysia, Indonesia, India dan Brazil, sebagai bukti bahawa forum itu terus menarik perhatian komuniti antarabangsa walaupun dalam suasana geopolitik yang semakin mencabar.

Valkov berkata, SPIEF dilihat sebagai instrumen penting dalam memperkukuh hubungan antarabangsa dan kerjasama dua hala antara Rusia dengan rakan-rakan globalnya.

Menurut beliau, dialog yang bermakna dan berterusan menerusi platform seperti SPIEF mampu membantu membina persefahaman serta membuka peluang kerjasama baharu ketika dunia sedang menyaksikan perubahan besar terhadap susunan kuasa dan ekonomi global.

 

 

Must Watch Video

Advertisement