TAIPEI: Nvidia mengesahkan tidak bercadang membangunkan konsol permainan mudah alih buat masa ini, sebaliknya memberi tumpuan kepada pembangunan pasaran komputer peribadi (PC) berasaskan kecerdasan buatan (AI), lapor Amanz.
Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang berkata syarikat itu kini memberi keutamaan kepada pembinaan ekosistem PC generasi baharu menerusi platform cip RTX Spark.
“Kami fokus kepada pembangunan PC masa hadapan melalui gabungan unit pemprosesan pusat (CPU) Grace dan unit pemprosesan grafik (GPU) Blackwell,” kata beliau kepada media pada pameran teknologi Computex di Taiwan.
Menurut Huang, Nvidia bagaimanapun terbuka untuk bekerjasama dengan pengeluar lain yang berminat membangunkan peranti mudah alih menggunakan cip syarikat itu.
Kenyataan tersebut menjawab spekulasi pasaran mengenai kemungkinan Nvidia menyertai segmen konsol PC mudah alih yang kini didominasi produk seperti Steam Deck dan ASUS ROG Ally.
Nvidia sebelum ini pernah memperkenalkan konsol mudah alih Shield Portable pada 2013.
Meskipun tidak lagi menghasilkan konsol sendiri, syarikat itu kekal sebagai pembekal komponen utama dalam industri, termasuk cip Tegra untuk peranti permainan.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pengeluar komputer dijangka memperkenalkan produk berasaskan cip RTX Spark dalam masa terdekat.