JOHOR BAHRU: Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) perlu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, peningkatan kos operasi serta persaingan pasaran yang semakin sengit supaya perniagaan terus mampan dan menguntungkan.
Pengasas RichWorks Consulting Group (RCG), Datuk Azizan Osman berkata, cabaran terbesar dihadapi usahawan ketika ini ialah mengurus perubahan kos, platform perniagaan dan perkembangan teknologi yang berlaku dengan pantas.
Katanya, usahawan perlu lebih bersedia menghadapi persaingan dengan mencari kelainan dalam pasaran supaya dapat mengekalkan kelangsungan perniagaan.
"Apa yang kita cuba nak bantu dalam sesi kali ini adalah, bagaimana mereka lebih bersedia dalam persaingan dan mencari perbezaan di dalam pasaran untuk mereka menang dan boleh mengekalkan perniagaan, serta berada dalam keadaan yang menguntungkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Inner Circle Meeting (ICM) di Hotel Sheraton, di sini.
Mengulas lanjut, Azizan berkata, kejayaan sesebuah syarikat bergantung kepada keupayaan usahawan sebagai pemacu dan pemimpin organisasi.
Katanya, usahawan perlu diperkukuh dan dibantu untuk melakukan transformasi supaya mampu menerajui organisasi serta mengurus perubahan yang berlaku dalam persekitaran perniagaan.
"Kami sangat mengutamakan usaha membantu pemimpin-pemimpin usahawan atau PMKS supaya mampu memacu organisasi serta menerajui perniagaan mereka, sekali gus mengurus perubahan dan cabaran yang ada," jelasnya.
Menyentuh mengenai persepsi mengaitkan kejatuhan beberapa syarikat dengan penglibatan dalam program bimbingan Richworks, Azizan menegaskan, banyak organisasi dan syarikat gagal bertahan kerana tidak menambah baik ilmu pengetahuan serta strategi mengikut keadaan semasa.
Katanya, landskap perniagaan kini jauh berbeza berbanding sebelum ini dengan perubahan ekonomi, politik dan persaingan yang memerlukan usahawan sentiasa bersedia.
Beliau berkata, ushawan perlu menerima bahawa turun naik dalam perniagaan adalah perkara biasa, namun kemampuan untuk bangkit semula bergantung kepada kesediaan mereka untuk memahami strategi dan situasi pasaran semasa.
Azizan dalam pada itu turut menasihatkan usahawan supaya memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi perniagaan kerana teknologi itu bukan lagi sekadar untuk mendapatkan maklumat, malah membantu melaksanakan operasi dengan lebih cekap.