Skip to main content

Bisnes

Nik Sazali dilantik Presiden dan CEO Kumpulan SIRIM

Sumber: SIRIM
Sebelum ini, Nik Sazali memangku jawatan PGCEO SIRIM sejak Ogos 2025 dan pernah menerajui SIRIM Academy Sdn Bhd, termasuk memacu inisiatif latihan, perundingan, pembangunan keupayaan industri, kelestarian serta TVET.

SHAH ALAM: SIRIM Berhad melantik Nik Sazali Nik Hussin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO) berkuat kuasa serta-merta, dalam langkah memperkukuh kepimpinan organisasi itu bagi mempercepat daya saing industri, inovasi serta kesiapsiagaan pasaran perusahaan Malaysia.

Pengerusi SIRIM Berhad, Datuk Ir. Khairol Anuar Mohamad Tawi berkata, pelantikan tersebut dibuat pada waktu yang penting ketika SIRIM memasuki dekad keenam operasinya dengan tumpuan berterusan untuk memperkukuh keupayaan industri tempatan dalam berinovasi, bersaing dan berkembang.

Menurut beliau, pelantikan Nik Sazali mencerminkan keyakinan Lembaga Pengarah terhadap kepimpinan yang berteraskan kekuatan institusi dan tanggungjawab SIRIM, selain mampu memenuhi keperluan yang semakin berkembang dalam kalangan pemain industri serta pihak kerajaan.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau menunjukkan kejelasan strategik serta keupayaan perniagaan yang diperlukan untuk menerajui organisasi ini. Lembaga Pengarah komited menyokong kepimpinan beliau dalam meneruskan mandat SIRIM,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Nik Sazali memiliki hampir tiga dekad pengalaman kepimpinan merangkumi sektor perbankan komersial, pendidikan tinggi, perundingan pengurusan serta syarikat berkaitan kerajaan.

Akauntan bertauliah itu turut mempunyai pengalaman luas dalam transformasi organisasi, tadbir urus korporat, kemampanan kewangan, pembangunan perniagaan dan pembangunan bakat.

Sebelum pelantikan ini, beliau menjalankan tugas sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM secara pemangku sejak Ogos 2025. 

Beliau juga pernah menerajui SIRIM Academy Sdn Bhd sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bermula Mac 2023.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau memimpin pelbagai inisiatif transformasi dan pertumbuhan yang mengukuhkan kedudukan SIRIM Academy sebagai penyedia latihan, perundingan dan pembangunan keupayaan industri.

Organisasi itu turut memperluaskan peranannya dalam menyokong pembangunan industri berkaitan kualiti, teknologi, kelestarian dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

 

 

Must Watch Video

Advertisement