PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus memperkukuh agenda pekerjaan berkualiti dan pembangunan bakat negara susulan dapatan laporan terbaharu Bank Dunia yang menekankan keperluan Malaysia beralih kepada ekonomi berproduktiviti tinggi bagi meningkatkan pendapatan rakyat.
Laporan Malaysia Economic Monitor April 2026 bertajuk Raising the Ceiling, Raising the Floor: The Jobs Agenda as a Productivity Agenda yang dilancarkan hari ini menyatakan cabaran utama negara kini bukan lagi sekadar mewujudkan peluang pekerjaan, tetapi memastikan pekerjaan yang ditawarkan benar-benar sepadan dengan kemahiran, produktif serta menawarkan pendapatan lebih baik.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata dapatan laporan itu selari dengan komitmen kerajaan untuk membina tenaga kerja lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, pelaburan dalam AI, digitalisasi dan sektor bernilai tinggi perlu disokong ekosistem kemahiran yang lebih responsif kepada keperluan industri.
“Laporan Bank Dunia ini mengiktiraf bahawa pembangunan bakat, kesiapsiagaan AI dan penggunaan maklumat pasaran buruh yang tepat memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia mampu membina tenaga kerja yang lebih berdaya saing.
“Sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13, KESUMA melalui TalentCorp terus memperkukuh ekosistem MyMahir termasuk Future Skills Talent Council (FSTC), penggunaan data Critical Occupations List (MyCOL) serta pelaksanaan AI Readiness Index (AIRI),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut kementerian itu, laporan berkenaan turut mengiktiraf peranan platform MyMahir dan MyCOL dalam membantu Malaysia membina ekosistem kemahiran yang dipacu permintaan industri.
Pada masa sama, KESUMA turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai laluan kerjaya masa depan termasuk TVET, STEM, digital dan AI.
Ramanan berkata usaha itu bertujuan membantu pelajar membuat pilihan pendidikan dan kerjaya lebih tepat sebelum memasuki pasaran kerja.
Tambah beliau, kementerian itu juga akan terus memperkukuh padanan pekerjaan menerusi MyFutureJobs selain meningkatkan kebolehpasaran bakat tempatan supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat mengakses pekerjaan bernilai tinggi dan berpendapatan lebih baik.
KESUMA berkata jabatan serta agensi di bawah kementerian itu turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh standard perburuhan, keselamatan pekerjaan, pembangunan TVET dan perlindungan sosial bagi memastikan rakyat lebih bersedia menghadapi perubahan struktur ekonomi dan teknologi.