Skip to main content

Bisnes

Jiwa SME 2026: Ekosistem 'live commerce', usahawan mikro kecil kini boleh jual, pitch dan strim serentak di pentas digital

Sumber: Astro AWANI
Jelajah Jiwa SME akan membuka tirai di NU Sentral, Kuala Lumpur pada 27 dan 28 Jun; Suria Sabah Shopping Mall, Kota Kinabalu, Sabah (15-16 Ogos); Mayang Mall, Kuala Terengganu, Terengganu (11-12 September); Paradigm Mall, Petaling Jaya, Selangor (26-27 September) dan Aman Sentral Mall, Alor Setar, Kedah (23-25 Oktober).

KUALA LUMPUR: Platform keusahawanan Jiwa SME 2026 kini melangkah ke fasa baharu apabila tampil sebagai ekosistem “live commerce” bersepadu yang menggabungkan pameran fizikal, siaran langsung digital dan aktiviti perniagaan interaktif dalam satu platform, sekali gus mengubah cara usahawan mikro memasarkan produk mereka.

Penolong Kanan Naib Presiden Penyelesaian Kandungan Kreatif dan Komersial Astro AWANI, Cherish Leow berkata, transformasi itu dibuat selaras dengan perubahan besar tingkah laku pengguna yang kini lebih cenderung membeli dan membuat keputusan melalui kandungan digital secara langsung.

“Trend pengguna beralih ke digital, mereka kini banyak meluangkan masa untuk membeli produk secara dalam talian. Salah satu teras utama kita adalah bagaimana usahawan mikro dan kecil boleh mengubah strategi pemasaran serta membina jenama mereka di platform digital,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan baharu Jiwa SME 2026 memberi fokus kepada konsep ekosistem terbuka yang membolehkan usahawan bukan sahaja mempamerkan produk, tetapi turut menjalankan sesi pitching, membina rangkaian perniagaan serta menjual secara langsung melalui siaran digital pada masa sama.

“Usahawan boleh anggap Jiwa SME ini sebagai kanvas platform perniagaan mereka. Kita nak bina satu ekosistem yang dinamik dan lengkap dengan sokongan penaja utama Unifi Business serta rakan strategik lain. Kita beri peluang untuk mereka datang ke acara, buat live pitching dan luaskan rangkaian perniagaan,” jelasnya.

Cherish berkata, antara perubahan terbesar tahun ini ialah peralihan daripada format pentas tradisional kepada model kandungan digital interaktif termasuk sesi “podcast fireside chat” dan konsep “Vendor Goes Live” yang membolehkan usahawan melakukan penstriman langsung dari lokasi acara.

“Kita nak bergerak daripada format lama yang terlalu statik. Tahun ini kita perkenalkan podcast fireside chat yang disiarkan secara langsung di semua platform Astro AWANI dan juga peluang untuk usahawan buat live streaming dari tapak acara. Ini beri mereka pendedahan lebih besar dengan sokongan Astro AWANI dan Unifi Business dan rakan strategik lain,” katanya.

Beliau turut menambah, Jiwa SME kini berkembang sebagai platform media-komersial yang bukan sekadar acara keusahawanan, tetapi sebuah ekosistem yang menyatukan kandungan, perdagangan dan komuniti digital.

Penaja utama Unifi Business kekal menyokong program itu untuk tahun keempat berturut-turut, seiring usaha memperkukuh transformasi digital usahawan mikro dan kecil di Malaysia.

“Ini bukan lagi sekadar acara. Ia adalah ekosistem di mana usahawan boleh terus ‘live’, terus jual, terus bina jenama dan terus capai audiens lebih luas secara serentak,” katanya.

Jelajah Jiwa SME akan membuka tirai di NU Sentral, Kuala Lumpur pada 27 dan 28 Jun; Suria Sabah Shopping Mall, Kota Kinabalu, Sabah (15-16 Ogos); Mayang Mall, Kuala Terengganu, Terengganu (11-12 September); Paradigm Mall, Petaling Jaya, Selangor (26-27 September) dan Aman Sentral Mall, Alor Setar, Kedah (23-25 Oktober).

Must Watch Video

Advertisement