KUALA LUMPUR: Jawatan dalam parti politik bukan hak mutlak atau harta pusaka yang boleh diwarisi oleh anak cucu atau hanya dikhaskan kepada individu tertentu, kata bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Beliau berkata amalan menganggap sesuatu jawatan sebagai "tidak boleh diusik" atau hanya layak dipegang oleh individu tertentu dan kelompok berkepentingan bercanggah dengan prinsip demokrasi serta boleh menjejaskan kredibiliti institusi politik.
“Memegang jawatan penting dalam mana-mana pertubuhan politik adalah satu amanah yang diberikan oleh ahli parti dan rakyat, bukannya hak milik peribadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Syed Ali, seseorang pemimpin yang beranggapan jawatannya tidak boleh dicabar atau digantikan oleh orang lain sebenarnya tidak layak memimpin sesebuah organisasi politik.
Beliau berkata parti politik yang bermaruah dan menjunjung prinsip ketelusan tidak seharusnya mempertahankan pemimpin yang mempunyai sikap sedemikian.
Mengulas proses pemilihan calon pilihan raya, Syed Ali menambah setiap calon dipilih dan dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti selepas melalui penelitian daripada pelbagai aspek.
Sehubungan itu, beliau berkata setiap keputusan kepimpinan parti perlu dihormati dan diterima dengan hati terbuka, walaupun tidak memihak kepada kehendak atau harapan individu tertentu.
“Pemimpin yang ikhlas tidak akan kecewa, berdendam atau berkecil hati sekiranya dirinya atau penyokongnya tidak dipilih sebagai calon pilihan raya,” katanya.
Kata bekas Ahli Dewan Negara itu lagi, perjuangan politik seharusnya berteraskan kepentingan rakyat, bukannya demi memenuhi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.
“Adalah satu kesilapan besar jika menganggap orang lain tidak layak, manakala jawatan dalam parti atau kerusi wakil rakyat merupakan hak pusaka yang perlu diwarisi oleh anak cucu,” ujarnya.