Skip to main content

Bisnes

Asas ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan di tengah-tengah tekanan kos global

61759487876_EkonomiMalaysia.jpg
Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun berlakunya peningkatan kos pada peringkat global berikutan ketegangan geopolitik yang berterusan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun berlakunya peningkatan kos pada peringkat global berikutan ketegangan geopolitik yang berterusan, menurut Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

Menurut ACCA dalam satu kenyataan pada Isnin, Kaji Selidik Keadaan Ekonomi Global (GECS) oleh Institut Pengurusan Akauntan (IMA) dan ACCA bagi suku kedua (S2 2026) mendapati walaupun perniagaan di seluruh dunia bergelut dengan peningkatan kos operasi, Malaysia berjaya menempuh ketidaktentuan global itu dengan agak baik. 

“Bagi Malaysia, kos logistik, bahan api dan bahan mentah yang lebih tinggi terus menjejaskan perniagaan, terutamanya sektor yang bergantung kepada import serta perusahaan kecil dan sederhana.

“Bagaimanapun, asas ekonomi negara kekal berdaya tahan, dengan inflasi yang sederhana kepada 1.9 peratus pada Jun 2026, manakala ekonomi berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2026, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan aktiviti pembuatan, perlombongan serta perkhidmatan yang lebih baik,” tambahnya. 

Jelas ACCA, kerajaan juga terus membantu mengurangkan tekanan luaran menerusi penyaluran subsidi, bantuan dan insentif sebanyak RM54.7 bilion sepanjang tahun ini bagi menstabilkan harga dan meringankan beban isi rumah. 

Ketua Portfolio bagi Maritim Asia Tenggara ACCA, Andrew Lim berkata, prospek Malaysia itu disokong oleh inflasi yang terkawal, permintaan domestik yang stabil dan langkah dasar bersasar. 

“Bagaimanapun, perniagaan perlu kekal tangkas dan menguruskan kos dengan berhati-hati memandangkan keadaan turun naik global berkemungkinan dijangka berterusan,” katanya. 

Sementara itu, pada peringkat global, kaji selidik itu mendedahkan bahawa konflik berterusan di Asia Barat terus memberi kesan kepada ekonomi global, dengan lebih tiga perempat akauntan di seluruh dunia melaporkan kos operasi yang lebih tinggi pada suku kedua 2026, disokong oleh peningkatan harga komoditi dan gangguan rantaian bekalan. 

Tambah ACCA, dalam kalangan ketua pegawai eksekutif (CFO), sebanyak 83 peratus berhadapan dengan peningkatan kos, hampir mencecah paras tertinggi yang direkodkan pada 2022 dan 2023. 

Menurut ACCA lagi, walaupun tekanan kos meningkat, keyakinan global mengukuh daripada paras terendah kepada hampir mencatatkan rekod pada suku pertama 2026, sekali gus mencerminkan keyakinan dan daya tahan ekonomi global, iaitu ketika kaji selidik mengenai potensi kemajuan diplomatik dijalankan.  

“Bagaimanapun, pesanan baharu yang lebih lemah, perbelanjaan modal dan petunjuk jumlah pekerjaan menunjukkan pertumbuhan global semakin perlahan di tengah-tengah inflasi berterusan, ketidaktentuan geopolitik dan keadaan kewangan yang lebih ketat,” katanya. 

Dalam pada itu, kaji selidik itu juga mendapati bahawa tekanan ekonomi disenaraikan sebagai risiko utama perniagaan oleh akauntan pada suku kedua 2026 pada kadar 22 peratus, diikuti oleh ketidakstabilan geopolitik (20 peratus) dan keselamatan siber (14 peratus). 

Ketua Ahli Ekonomi ACCA, Jonathan Ashworth berkata, peningkatan kos yang mendadak kekal sebagai isu utama bagi firma sepanjang suku tersebut. 

“Sekiranya perniagaan terus memindahkan kos ini kepada pengguna, risiko pengetatan dasar monetari selanjutnya akan meningkat. 

“Walaupun keyakinan terus meningkat, akauntan tetap berhati-hati memandangkan ketidakpastian terus menentukan persekitaran operasi global,” katanya. 

GECS dijalankan bermula dari 3-17 Jun 2026 dan ia menerima 647 maklum balas, iaitu 453 daripada ahli ACCA dan 194 ahli IMA, sebelum konflik di Asia Barat itu kembali memuncak pada akhir bulan tersebut.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement