KUALA LUMPUR: Sektor swasta digesa untuk membenarkan pekerja bekerja dari rumah (BDR) di saat berdepan cabaran ekonomi masa kini.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdil Munim menyeru pihak majikan untuk ikut serta dasar BDR dalam semangat nasionalisme ekonomi.
“Usah kita terus terperuk dengan sikap lama tanpa kesediaan untuk berubah ke arah model operasi yang berani dan mampan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kamil turut menegaskan agar sektor swasta melaksanakan dasar BDR secara bersasar bagi tugasan yang tidak memerlukan kehadiran fizikal secara konsisten.
Tambahnya, kebajikan pekerja harus diutamakan dengan memberikan fleksibiliti untuk membantu mereka mengurus kos sara hidup di kawasan bandar.
“Kelangsungan ekonomi negara adalah tanggungjawab kolektif setiap segmen dan lapisan masyarakat,” katanya .
Kenyataan tersebut dibuat berdasarkan respons terhadap Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang mendakwa bahawa dasar BDR tidak sesuai dalam konteks tenaga kerja Malaysia.
Menurut Kamil, hujah tersebut bersifat regresif dan tidak berpijak di bumi yang nyata.
Tegasnya, pengalaman negara ketika mendepani fasa pemulihan COVID-19 telah membuktikan bahawa fleksibiliti di tempat kerja bukanlah satu penghalang, sebaliknya pemangkin kepada produktiviti.
“Melalui model kerja fleksibel mampu mencapai keseimbangan kerja-kehidupan sambil mengurangkan kos operasi (OPEX) syarikat dan beban perbelanjaan harian rakyat, terutamanya kos petrol dan pengangkutan,” katanya.
Beliau turut mengambil contoh dasar negara-negara Eropah dengan melaksanakan bekerja secara jarak jauh bagi menjimatkan penggunaan gas ketika berdepan krisis tenaga Rusia-Ukraine pada 2022.
Menyentuh soal rantau Asia Tenggara, Kamil berpendapat negara seperti Vietnam, Filipina dan Thailand turut mengeluarkan panduan rasmi yang meletakkan BDR sebagai langkah segera mendepani kemelut ini.
Jelasnya ia melibatkan amalan BDR dan minggu kerja pendek bagi mengurangkan penggunaan tenaga sektor awam sehingga 20 peratus.
“Fleksibiliti tempat kerja kini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai mekanisme pertahanan ekonomi yang efektif dalam menghadapi ketidaktentuan harga minyak dunia,” katanya lagi.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 April bersetuju melaksanakan dasar BDR mulai 15 April.
Beliau turut menyatakan komitmen AMK untuk terus mendukung langkah proaktif kerajaan untuk memastikan Malaysia kekal kental dalam mendepani apa jua cabaran global.