MOSCOW: Iran menegaskan isu simpanan uranium diperkaya tahap tinggi tidak akan dibincangkan dalam rundingan damai dengan Amerika Syarikat (AS).
Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Ali Bagheri Kani berkata perkara itu tidak termasuk dalam agenda perbincangan rasmi antara kedua-dua pihak.
“Isu ini tidak ada dalam agenda rundingan,” katanya kepada agensi berita Fars di luar persidangan keselamatan antarabangsa, di sini.
Kenyataan itu dibuat susulan amaran Presiden AS Donald Trump yang menyatakan Washington tidak akan membenarkan Iran terus menyimpan kira-kira 440 kilogram uranium diperkaya.
Isu tersebut kekal menjadi antara halangan utama dalam usaha memuktamadkan perjanjian damai antara kedua-dua negara.
Menurut laporan, uranium Iran kini diperkaya sehingga tahap 60 peratus, iaitu di bawah paras sekitar 90 peratus yang lazimnya dikaitkan dengan bahan gred senjata nuklear.
Bagaimanapun, pakar keselamatan menyifatkan tahap tersebut sebagai kritikal kerana boleh mempercepatkan proses mencapai keupayaan senjata nuklear.
Perkembangan ini berlaku ketika perunding Iran, Mohammad Baqr Qalibaf, berada di Qatar bagi membincangkan isu pelepasan dana yang dibekukan oleh AS sebagai sebahagian daripada rundingan.