DALAM disiplin hubungan antarabangsa moden, sarjana sering menumpukan perhatian kepada negara bangsa, diplomasi, organisasi antarabangsa dan persaingan kuasa besar dunia. Sistem antarabangsa hari ini pula banyak dibentuk oleh legasi Perjanjian Westphalia 1648 yang menekankan konsep kedaulatan negara dan sempadan politik.
Namun, jauh sebelum lahirnya sistem Westphalia dan globalisasi moden, Islam sebenarnya telah memperkenalkan satu bentuk hubungan antarabangsa yang unik melalui institusi haji.
Haji bukan sekadar ritual keagamaan. Dari perspektif hubungan antarabangsa, ia merupakan satu mekanisme pengantarabangsaan manusia yang menyatukan pelbagai bangsa, bahasa dan budaya di bawah satu identiti bersama sebagai umat Islam.
Dalam teori hubungan antarabangsa kontemporari, globalisasi sering dikaitkan dengan jaringan ekonomi, teknologi dan perdagangan antarabangsa. Tetapi Islam melalui haji telah membina apa yang boleh disebut sebagai “globalisasi kemanusiaan” sejak lebih 1,400 tahun lalu.
Setiap tahun, jutaan manusia dari seluruh dunia berhimpun di Mekah. Mereka datang dari pelbagai negara, mazhab, etnik dan kelas sosial. Menariknya, semua jemaah memakai pakaian ihram yang hampir sama tanpa simbol pangkat, kekayaan atau kedudukan politik. Di sinilah letaknya kekuatan simbolik haji.
Dalam dunia moden yang sering dicorakkan oleh nasionalisme sempit, ketidaksamaan kuasa dan politik identiti, haji membawa mesej bahawa manusia pada asasnya adalah setara. Raja, Presiden atau Perdana Menteri dan rakyat biasa berdiri bersama di Padang Arafah tanpa dibezakan oleh warna kulit atau status sosial.
Jika dilihat daripada perspektif konstruktivisme dalam hubungan antarabangsa, haji sebenarnya membentuk identiti kolektif umat Islam merentasi sempadan negara bangsa. Identiti “ummah” menjadi lebih dominan berbanding identiti nasional semata-mata.
Dalam konteks ini, haji boleh dianggap sebagai satu bentuk kuasa lunak atau ‘soft power’ spiritual Islam yang sangat besar pengaruhnya terhadap pembinaan solidariti umat Islam di peringkat global.
Lebih menarik, haji juga berfungsi sebagai satu bentuk ‘people-to-people diplomacy’. Berbeza dengan diplomasi tradisional yang hanya melibatkan elit politik dan negara, haji mempertemukan jutaan manusia biasa secara langsung setiap tahun. Interaksi ini membentuk persefahaman budaya, jaringan sosial dan rasa persaudaraan antarabangsa yang sukar diwujudkan melalui sidang diplomatik biasa.
Dari sudut sejarah, Mekah pula telah lama menjadi pusat jaringan dunia Islam. Melalui perjalanan haji, berlaku pertukaran ilmu, perdagangan dan idea politik antara masyarakat Islam dari Asia Tenggara, Asia Selatan, Asia Barat dan Afrika.
Malah, dalam sejarah kolonialisme Barat, kuasa penjajah sangat berhati-hati terhadap institusi haji kerana mereka memahami bahawa haji mampu membina kesedaran politik dan solidariti antarabangsa umat Islam.
Dalam dunia hari ini yang semakin terpecah akibat perang, geopolitik dan krisis kemanusiaan, falsafah haji menawarkan satu model hubungan antarabangsa yang lebih berasaskan nilai moral dan kemanusiaan. Ketika masyarakat antarabangsa sering gagal mencari penyelesaian terhadap konflik global akibat persaingan kepentingan negara, haji mengajar bahawa keamanan sebenar memerlukan pembinaan nilai bersama, penghormatan sesama manusia dan kesedaran bahawa manusia berasal daripada keturunan yang sama.
Akhirnya, haji membuktikan bahawa Islam bukan sekadar agama spiritual, tetapi juga mempunyai dimensi antarabangsa yang sangat mendalam. Jika globalisasi moden dibina atas asas ekonomi dan kuasa, maka globalisasi yang dibawa oleh haji dibina atas asas persaudaraan, kesaksamaan dan kemuliaan insan.
Mungkin inilah antara sumbangan terbesar Islam kepada tamadun dunia - memperkenalkan satu bentuk hubungan antarabangsa yang lebih berperikemanusiaan jauh sebelum dunia moden mula bercakap tentang keamanan sejagat dan solidariti global.
*Artikel ini ditulis oleh Dr. Mohd Afandi Salleh yang juga Profesor Hubungan Antarabangsa di Universiti Sultan Zainal Abidin dan Felo Kehormat IKIM. Beliau juga adalah Pengerusi Halal Development Corporation (HDC)
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.