Skip to main content

Hiburan

Pengarah, pelakon terkenal Bhagyaraj meninggal dunia akibat serangan jantung

pengarah K. Bhagyaraj meninggal dunia
Bhagyaraj dikejarkan ke hospital selepas mengalami serangan jantung, namun disahkan meninggal ketika menerima rawatan. -Gambar X Bhagyaraj

BELUM pun reda kesedihan susulan pemergian pengarah legenda Tamil, Bharathiraja awal bulan ini, industri perfileman India sekali lagi diselubungi duka apabila 'anak didiknya', tokoh tersohor K Bhagyaraj meninggal dunia akibat serangan jantung pada pagi Sabtu.

Memetik The Economic Times, Bhagyaraj, 73, dikejarkan ke Hospital Apollo, Chennai selepas mengalami serangan jantung, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. 

Mendiang meninggalkan legasi besar selepas hampir lima dekad mewarnai dunia perfileman India sebagai pengarah, pelakon, penulis skrip dan penerbit. 

Dilahirkan di daerah Erode, Tamil Nadu, Bhagyaraj bertemu jodoh dengan pelakon Poornima dan pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu pelakon Shanthanu dan Saranya. 

Menurut laporan media tempatan, upacara pengebumian mendiang dijadual berlangsung pada jam 1.30 tengah hari Ahad, waktu tempatan (4 petang, waktu Malaysia) di Krematorium Besant Nagar, Chennai.

Mendiang memulakan kerjaya sebagai pembantu pengarah kepada pengarah tersohor Bharathiraja menerusi filem 16 Vayathinile pada 1977.

Beliau turut muncul dalam beberapa watak kecil sebelum menempa nama sebagai pengarah dan penulis skrip.

Debut arahannya menerusi Suvarilladha Chiththirangal pada 1979 membuka laluan kepada deretan karya yang berjaya, termasuk Andha 7 Naatkal (1981), Darling Darling Darling (1982), Mundhanai Mudichu (1983), Chinna Veedu (1985), dan Idhu Namma Aalu (1988).

Sepanjang lebih lima dekad dalam industri, beliau mengarahkan lebih 25 filem selain berlakon dalam lebih 75 karya.

Bhagyaraj dikenali dengan gaya penceritaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat kelas pertengahan, disulami unsur humor, kekeluargaan dan mesej sosial yang memberi identiti tersendiri kepada filem-filem arahannya.

Pengaruh beliau turut melangkaui industri Tamil apabila mengarahkan filem Hindi Aakhree Raasta (1986) yang dibintangi Amitabh Bachchan, Sridevi, dan Jaya Prada.

Bekas Ketua Menteri Tamil Nadu yang juga legenda filem India, M.G. Ramachandran (MGR) pernah menggelarkan Bhagyaraj sebagai pewarisnya dalam industri perfileman kerana bakat luar biasanya sebagai pengarah dan penulis.

Awal tahun ini, Bhagyaraj meraikan 50 tahun penglibatannya dalam dunia perfileman sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-73.

Beliau juga masih aktif berkongsi karya dan berinteraksi dengan peminat, termasuk melancarkan siri penceritaan Story Inspiration di Instagram.

Mendiang bagaimanapun sempat menghadiri majlis perkahwinan anak kepada pelakon Khushbu Sundar di Goa yang merupakan majlis terakhir beliau.

Sementara itu, Gabenor Tamil Nadu, Rajendra Vishwanath Arlekar menyifatkan pemergian Bhagyaraj sebagai kehilangan besar kepada dunia perfileman.

Beliau berkata, kreativiti, keunikan penceritaan serta sumbangan besar Bhagyaraj kepada industri filem Tamil akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi pembikin filem pada masa hadapan.

"Legasinya akan terus hidup dalam hati pencinta filem dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang," katanya.

Must Watch Video

Advertisement