SAN DIEGO: Marvel Studios kembali mencuri tumpuan di San Diego Comic-Con apabila mengumumkan beberapa projek utama Marvel Cinematic Universe (MCU), termasuk filem Ghost Rider yang dibintangi Ryan Gosling serta Black Panther 3 yang bakal memperkenalkan pelakon Britain, David Jonsson, sebagai T’Challa generasi baharu.
Presiden Marvel Studios, Kevin Feige, mengesahkan Gosling akan memegang watak adiwira ikonik Ghost Rider dalam filem yang dijadualkan ditayangkan pada 2028.
Filem itu akan diarahkan oleh Shawn Levy, yang sebelum ini mengarahkan Deadpool & Wolverine.
Sementara itu, pengarah Ryan Coogler mengumumkan beliau akan kembali mengarahkan Black Panther 3, yang dijadualkan menemui penonton pada 15 Disember 2028.
Filem itu akan menampilkan David Jonsson sebagai T’Challa II, anak kepada T’Challa yang pernah dilakonkan mendiang Chadwick Boseman.
Ketika membuat pengumuman tersebut, Coogler berkata watak yang diperkenalkan dalam Black Panther: Wakanda Forever itu kini akan tampil sebagai pewaris baharu takhta Wakanda dan identiti Black Panther.
Acara itu turut menyaksikan tayangan rakaman eksklusif pertama daripada Avengers: Doomsday, filem yang bakal menjadi antara projek terbesar MCU.
Rakaman tersebut memberi gambaran awal konflik melibatkan Doctor Doom dan Reed Richards, selain membayangkan perkembangan besar dalam jalan cerita Marvel akan datang.
Avengers: Doomsday dijadualkan ditayangkan pada 18 Disember tahun ini, diikuti Avengers: Secret Wars pada Disember 2027.
Marvel kekal sebagai francais filem paling berjaya di dunia dengan kutipan box office global mencecah hampir AS$33 bilion, manakala Avengers: Endgame (2019) masih berada dalam kelompok filem dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman.