IPOH: Suruhanjaya Tenaga (ST) terus memperkukuh komitmen dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan tenaga secara mampan menerusi penganjuran Karnival Bijak Tenaga 2026 yang berlangsung selama dua hari di Stadium Indera Mulia, di sini.
Pengerusi ST Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon berkata penganjuran karnival itu antara lain bertujuan mendekati dan memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali dan memahami fungsi agensi berkenaan selaku badan kawal selia sektor elektrik dan gas berpaip negara serta perkembangan sektor tenaga negara dalam bentuk yang santai.
“Karnival ini satu daripada cara terbaik untuk kami (ST) turun padang dan mendampingi orang ramai dalam usaha meningkatkan kefahaman mengenai peranan ST sebagai badan kawal selia sektor tenaga.
“Pengunjung boleh mendapatkan penjelasan mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh pihak ST, perkembangan terkini mengenai industri pembekalan elektrik negara, insentif terkini kerajaan berkaitan kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu serta meneroka peluang pendidikan dan kerjaya dalam sektor tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian karnival berkenaan di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif ST Siti Safinah Salleh.
Sementara itu, Ketua Seksyen Komunikasi Strategik ST Veliana Ruslan berkata pihaknya merancang memperluas penganjuran karnival itu ke negeri lain bermula tahun depan susulan sambutan menggalakkan pada penganjuran sulung program itu di Perak.
“Sepanjang dua hari penganjuran ini, kehadiran sangat memberangsangkan. Terima kasih kepada semua (yang hadir), bukan sahaja orang Perak, kita lihat dari Kuala Lumpur, Johor Baharu dan sebagainya.
“Sasaran asal hanya 5,000, sekarang telah melangkaui 10,000 menghampiri 15,000 pengunjung,” katanya.
Bersempena dengan sambutan Jubli Perak ST, karnival berkenaan menyokong agenda peralihan tenaga negara dengan menghimpunkan pelbagai aktiviti termasuk pameran, demonstrasi, ceramah dan pertandingan yang memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kepentingan penggunaan tenaga secara bertanggungjawab.
Sepanjang program itu pengunjung turut didedahkan dengan cara menjimatkan penggunaan elektrik di rumah, kepentingan Label Cekap Tenaga 4 atau 5-Bintang dan Label Keselamatan ST-SIRIM, selain panduan memilih peralatan elektrik yang lebih cekap tenaga.
-- BERNAMA