Skip to main content

Malaysia

Diplomasi diraja Sultan Ibrahim tingkatkan hubungan Rusia-Malaysia - Duta

MOSCOW, 6 Ogos -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan bersalaman dengan Presiden Rusia Vladimir Putin pada Majlis Sambutan Negara di Grand Kremlin Palace hari ini._BERNAMA
Sultan Ibrahim melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia pertama yang dijemput sebagai Tetamu Kehormat bagi menghadiri sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan ke-81 di Moscow pada Mei. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Diplomasi diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah mengeratkan hubungan antara rakyat Rusia dan Malaysia meskipun kedua-dua negara dipisahkan oleh jarak geografi, di samping membawa hubungan dua hala ke dimensi baharu, kata Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl Latypov.

Memuji pendekatan diraja Seri Paduka Baginda, Latypov berkata diplomasi Sultan Ibrahim telah meningkatkan hubungan dua hala Rusia-Malaysia ketika kedua-dua negara bersiap sedia memperingati ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada tahun depan.

"Rusia amat menghargai diplomasi diraja Seri Paduka Baginda. Kemesraan sedemikian merupakan sesuatu yang benar-benar baharu dalam hubungan kita. Sikap peribadi Seri Paduka Baginda terhadap Rusia telah membolehkan hubungan dua hala Rusia-Malaysia memasuki dimensi baharu dalam libat urus diplomatik," katanya kepada Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

Duta itu berkata Sultan Ibrahim melakar sejarah pada Ogos tahun lepas sebagai Ketua Negara Malaysia pertama melakukan Lawatan Negara ke Rusia sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1967.

Seri Paduka Baginda kemudian kembali ke Rusia pada Januari tahun ini untuk lawatan khas, yang menyaksikan baginda berkenan berangkat melawat Muzium Hermitage di St Petersburg bersama Presiden Vladimir Putin.

Menurut Latypov, Rusia berasa amat berbesar hati mengalu-alukan keberangkatan Sultan Ibrahim sekali lagi pada Mei tahun ini sempena sambutan Hari Kemenangan.

Hari Kemenangan amat penting bagi Rusia. Kami memberi penghormatan kepada mereka yang mengorbankan nyawa demi kebebasan dan kemerdekaan negara kami," katanya.

Latypov berkata semasa lawatan Sultan Ibrahim sempena Hari Kemenangan itu, Seri Paduka Baginda mengadakan perbincangan dengan Presiden Rusia Putin, dengan kedua-dua pemimpin mencapai beberapa persetujuan.

"Saya percaya persetujuan itu akan memberi semangat baharu kepada perkembangan hubungan Rusia-Malaysia," katanya.

Menurut Sputnik dan RIA Novosti, Sultan Ibrahim turut mengundang Presiden Putin untuk melakukan Lawatan Negara ke Malaysia pada 2027 bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik.

Pada awal Jun, agensi berita Rusia TASS melaporkan bahawa Rusia berhasrat memansuhkan keperluan visa bagi rakyat beberapa negara, termasuk Malaysia.

Kemudian pada Jun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, ibu negeri dan bandar terbesar Tatarstan.

Dalam ucapan ketika pertemuan dengan delegasi Malaysia yang diketuai Anwar, Presiden Putin berkata perdagangan dua hala antara Rusia dan Malaysia meningkat 12.9 peratus pada tahun lepas.

"Keputusan yang amat menggalakkan," katanya, menurut transkrip ucapan yang disiarkan di laman sesawang Kremlin.

Dalam pertemuan itu, Rusia turut bersetuju menjamin bekalan petrol, minyak dan gas jangka panjang kepada Malaysia.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Prof Dr Azmi Hassan, ketika dihubungi Bernama, berkata diplomasi diraja Sultan Ibrahim membawa prestij amat tinggi yang membuka "ruang dan peluang" penting di luar jangkauan saluran diplomatik konvensional.

"Kita dapat melihat bahawa lawatan pertama Yang di-Pertuan Agong pada Ogos tahun lepas telah memperluas kerjasama secara signifikan, bukan sahaja di peringkat diplomatik tetapi yang lebih penting dalam bidang keselamatan tenaga. Malaysia telah menerima jaminan bekalan bahan api jangka panjang dari Rusia.

"Diplomasi diraja memainkan peranan yang sangat penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Rusia," katanya.

Mengenai Lawatan Negara Presiden Putin yang dirancang ke Malaysia pada 2027, Azmi menekankan bahawa Malaysia perlu melihat melangkaui perdagangan tradisional dan memberi keutamaan kepada pemerolehan sains dan teknologi maju dari Moscow.

"Rusia pada asasnya mempunyai kemajuan dan teknologi yang setanding dengan negara-negara Barat. Dengan Rusia, kita (Malaysia) boleh memperolehnya pada kos yang lebih kompetitif. Saya fikir perkara dan agenda ini lebih penting untuk dibincangkan semasa lawatan Putin tahun depan," katanya.

Pada 2025, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan jumlah perdagangan bernilai RM8.72 bilion (US$2.04 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti serta produk makanan diproses.

Import utama Malaysia dari Rusia pula termasuk produk petroleum, mineral, bahan kimia dan produk berasaskan kimia.

Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara secara rasmi terjalin pada 3 April 1967, serentak dengan pemeteraian perjanjian perdagangan.

Rusia kemudian membuka Pejabat Perdagangannya di Kuala Lumpur pada November 1967 dan kedutaannya pada April 1968, manakala Malaysia membuka kedutaannya di Moscow pada November 1968.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement