Skip to main content

Hiburan

Filem terbaharu Stephen Chow 'Kung Fu Soccer' cetus kontroversi di Korea Selatan

Kung Fu Soccer
Filem Kung Fu Soccer mengisahkan sekumpulan pemain bola sepak wanita yang cuba bangkit daripada kegagalan dengan menggabungkan kemahiran seni mempertahankan diri dalam usaha memburu kejayaan di padang.

SEOUL: Filem terbaharu arahan bintang Hong Kong, Stephen Chow, "Kung Fu Soccer" kini menjadi bualan hangat selepas didakwa menampilkan gambaran stereotaip terhadap pasukan bola sepak wanita Korea Selatan.

Filem berkenaan mengisahkan sekumpulan pemain bola sepak wanita yang cuba bangkit daripada kegagalan dengan menggabungkan kemahiran seni mempertahankan diri dalam usaha memburu kejayaan di padang.

Namun, beberapa babak mencetuskan kritikan dalam kalangan penonton Korea Selatan apabila pasukan lawan yang dikenali sebagai Pasukan Bola Sepak Wanita Ewha — dipercayai merujuk kepada Universiti Wanita Ewha di Seoul — digambarkan menggunakan taktik agresif dan tidak profesional untuk memenangi perlawanan.

Lebih mencuri perhatian, watak-watak pasukan itu turut dipaparkan terlalu mementingkan penampilan, termasuk memakai kanta sentuh bulat dan membetulkan solekan ketika aksi perlawanan sedang berlangsung.

Netizen Korea Selatan turut membangkitkan isu penggunaan dialog bahasa Korea yang didakwa kedengaran janggal, selain menampilkan gaya pertuturan yang dianggap memperkukuhkan stereotaip terhadap wanita negara itu.

Profesor Universiti Wanita Sungshin, Seo Kyung-duk, antara individu yang lantang menyuarakan kritikan terhadap filem tersebut. Menurutnya, gambaran sedemikian boleh memberi persepsi negatif dan mengukuhkan stereotaip terhadap masyarakat Korea Selatan di mata penonton antarabangsa.

Beliau turut mengaitkan kontroversi itu dengan sebuah filem China mengenai sukan luncur laju trek pendek yang ditayangkan selepas Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, yang sebelum ini turut mencetuskan perdebatan kerana didakwa memaparkan atlet Korea Selatan secara negatif.

Susulan reaksi yang semakin memuncak, Seo menggesa pihak produksi meneliti semula babak yang dipertikaikan dan melakukan penambahbaikan sebelum Kung Fu Soccer memasuki pasaran antarabangsa bulan depan.

Sekuel kepada filem ikonik "Shaolin Soccer" itu mula ditayangkan di China pada 11 Julai lalu dan dilaporkan berjaya mengutip lebih 600 juta yuan (kira-kira RM365 juta) hanya dalam tempoh tiga hari pertama tayangan.

 

Must Watch Video

Advertisement