WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyalahkan Kanada berhubung asap kebakaran hutan yang merebak ke AS dan mengancam akan mengenakan tindakan balas, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
“Kos pencemaran itu semestinya perlu ditambah kepada TARIF yang sedang dibayar Kanada,” tulis Trump menerusi platform Truth Social pada Jumaat.
Trump berkata beliau akan menghubungi Perdana Menteri Kanada Mark Carney bagi mengetahui langkah yang dirancang negara itu untuk menangani keadaan berkenaan.
Asap itu sebahagian besarnya berpunca daripada puluhan kebakaran hutan di wilayah Ontario, Kanada dan negeri Minnesota di utara AS.
Keadaan itu menjejaskan kawasan di timur laut AS dan Kanada, termasuk bandar utama seperti Toronto, Chicago, Detroit dan Washington.
Jarak penglihatan di New York turut terjejas dengan ketara, manakala bau asap terus memenuhi udara.
Trump menuduh Kanada gagal mengurus hutan dengan baik serta tidak membersihkan semak-samun dan sisa hutan, yang menurutnya menjadi punca kebakaran berkenaan.
Beliau berkata AS sedang menerima tempias pencemaran udara rentas sempadan yang menurutnya berbahaya dan tidak boleh diterima.
Bagaimanapun, penyelidikan saintifik secara umumnya mengaitkan kebakaran hutan di Amerika Utara dengan perubahan iklim.
Sebelum ini, Premier Ontario Doug Ford berkata ahli politik sepatutnya menghulurkan bantuan dan bukannya sekadar merungut.
“Kerana kami telah melakukan perkara sama untuk rakan-rakan kami di Amerika,” katanya.
-- BERNAMA-dpa