JEMPOL: Prestasi kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan menjadi penentu kepada hala tuju kedua-dua gabungan itu pada pilihan raya akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuk jajaran politik baharu bagi menghadapi PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya akan menilai dinamik politik pada PRN Negeri Sembilan terlebih dahulu sebelum sebarang pertimbangan dibuat mengenai kerjasama yang lebih meluas pada masa hadapan.
“Kita akan lihat prestasinya di Negeri Sembilan kerana politik ini sangat dinamik.
“Maka kita akan menyusun jajaran yang diperlukan untuk (PRN) Melaka dan negeri-negeri lain, termasuk apabila menghadapi PRU16 nanti,” katanya pada sidang media selepas Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (Gema@KKDW) Peringkat Negeri Sembilan di Felda Palong 8 pada petang Sabtu.
Beliau terdahulu mengulas sama ada kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan akan dijadikan model untuk dibawa ke PRU16 sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, BN menawarkan rekod pentadbiran negeri-negeri di bawah gabungan itu sebagai asas keyakinan kepada rakyat Negeri Sembilan.
Menurut beliau, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Sembilan sebanyak 4.6 peratus masih berada di bawah purata nasional iaitu 5.2 peratus, manakala Johor mencatatkan pertumbuhan sekitar lapan peratus di bawah pentadbiran BN.
Beliau berkata, prestasi Johor dan Pahang membuktikan keupayaan BN mentadbir negeri dengan lebih baik, sekali gus menjadi tawaran kepada pengundi Negeri Sembilan.
“Kita memberikan tawaran dan harapan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan agar apa yang berlaku di Johor dan Pahang dapat dilakukan di Negeri Sembilan jika mandat diberikan kepada Barisan Nasional untuk mentadbir negeri ini,” katanya.