Skip to main content

Malaysia

Limp Bizkit bakal gegar Bukit Jalil Disember ini

LiMP BIZKIT -- IG
Pengumuman konsert “One-Stop Asia Show” oleh kumpulan nu metal terkenal Amerika Syarikat, Limp Bizkit, yang bakal berlangsung di National Hockey Stadium, Bukit Jalil pada 9 Disember 2026

KUALA LUMPUR: Kumpulan nu metal terkenal Amerika Syarikat, Limp Bizkit bakal mengadakan konsert pertama mereka di Malaysia pada 9 Disember 2026 menerusi persembahan eksklusif “One-Stop Asia Show”.

Penganjur, Hitman Solutions⁠ mengumumkan konsert itu akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, sekali gus menandakan kemunculan sulung kumpulan tersebut di hadapan peminat tempatan.

Pengumuman berkenaan mendapat perhatian peminat muzik rock dan nu metal yang sekian lama menantikan kehadiran mereka.

Tiket konsert akan mula dijual pada 30 Jun 2026 bermula jam 12 tengah hari menerusi platform rasmi Hitman Live⁠

Konsert itu dijangka menarik ribuan peminat dari dalam dan luar negara memandangkan Kuala Lumpur merupakan satu-satunya destinasi persinggahan Limp Bizkit di Asia bagi jelajah berkenaan.

Ditubuhkan pada 1994 di Jacksonville, Florida, Limp Bizkit merupakan antara kumpulan paling berpengaruh dalam gelombang muzik nu metal yang mendominasi penghujung 1990-an dan awal 2000-an.

Diterajui vokalis Fred Durst, kumpulan itu terkenal menerusi lagu-lagu seperti Rollin', My Way, Break Stuff, Nookie dan Take a Look Around.

Menggabungkan elemen metal, hip hop, rap dan rock, Limp Bizkit dianggap antara pelopor utama genre nu metal bersama kumpulan seperti Korn, Linkin Park dan Slipknot.

Populariti mereka memuncak menerusi album Significant Other dan Chocolate Starfish and the Hot Dog Flavored Water yang terjual berjuta-juta unit di seluruh dunia.
 

Must Watch Video

Advertisement