KUALA LUMPUR: Filem aksi tempatan Tarung: Unforgiven terus mencipta fenomena tersendiri apabila berjaya mencatat kutipan RM20.3 juta sepanjang tayangannya di pawagam seluruh negara.
Sejak mula ditayangkan pada 7 Mei lalu, filem berkenaan dilihat konsisten menarik kehadiran penonton, sekali gus meletakkan ia antara karya tempatan paling berjaya dan hangat diperkatakan ketika ini.
Pengarah, penulis skrip dan penerbit eksekutif filem itu, Razaisyam Rashid berkata, kejayaan yang diraih bukan sekadar angka kutipan semata-mata, sebaliknya pengalaman berinteraksi secara langsung dengan penonton menjadi detik paling bermakna sepanjang perjalanan filem tersebut.
Menurutnya, siri jelajah yang dianjurkan memberi peluang kepada beliau dan barisan pelakon mendengar sendiri reaksi serta maklum balas penonton selepas menyaksikan filem berkenaan.
“Saya berharap kejayaan ini dapat membuka lebih banyak ruang untuk filem aksi tempatan terus berkembang,” katanya.
Momentum filem itu turut diperkukuhkan menerusi pendekatan barisan pelakon seperti Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Azira Shafinaz, Amir Ahnaf dan Bront Palarae yang aktif turun padang dalam siri jelajah bagi mendekati peminat.
Hujung minggu lalu, jelajah di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menyaksikan sambutan luar biasa apabila ribuan peminat membanjiri setiap lokasi, sekali gus mencetuskan suasana meriah dan penuh keterujaan.
Selain itu, interaksi aktif di media sosial seperti Threads dan TikTok turut memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan antara pelakon dan penonton, apabila mereka dilihat membalas komen serta berkongsi reaksi secara langsung.
Pelakon merangkap penerbit dan penerbit eksekutif Tarung: Unforgiven, Aedy Ashraf, menyifatkan pengalaman bertemu peminat sebagai antara momen paling diingati sepanjang pembabitan dalam filem tersebut.
Katanya, sokongan yang diterima sama ada melalui jelajah mahupun di platform digital memberi makna besar kepada seluruh pasukan produksi.
Tarung: Unforgiven menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Bront Palarae, Zul Ariffin, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz dan Sharifah Sakinah, selain turut dibintangi pelakon lain serta petarung sebenar.