Skip to main content

Malaysia

Polis bongkar kegiatan lombong bitcoin haram di Rompin, 36 mesin dirampas

KUANTAN, 9 Feb -- Elektrik yang dicuri selepas Polis berjaya menumpaskan kegiatan mencuri elektrik bagi kegiatan perlombongan bitcoin, hari ini. Polis berjaya menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 22 dan 39 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri elektrik bagi aktiviti perlombongan bitcoin secara haram. Sebanyak 159 buah mesin bitcoin di dua premis berasingan di Jalan Gambang disita untuk siasatan. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
Polis membongkar kegiatan perlombongan bitcoin haram menerusi serbuan ke atas dua premis di Bandar Satelit, Muadzam Shah, Rompin. - Gambar hiasan/Bernama

KUANTAN: Polis membongkar kegiatan perlombongan mata wang digital (bitcoin) haram menerusi serbuan ke atas dua premis di Bandar Satelit, Muadzam Shah, Rompin, semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata serbuan menerusi Ops Elektrik kira-kira 2.30 petang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) Kuantan Zon Timur.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati dua premis tertutup dan tidak beroperasi itu dijadikan pusat perlombongan bitcoin dengan menggunakan sambungan elektrik secara tidak sah.

“Susulan itu, polis merampas 36 mesin perlombongan mata wang digital, 18 blower dan kipas serta masing-masing dua set komputer dan modem Wi-Fi digunakan bagi menjalankan aktiviti tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dan usaha mengesan individu terlibat sedang dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Sharif Shai berkata pihaknya akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan bekalan elektrik serta perlombongan mata wang digital secara haram yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada negara selain membahayakan keselamatan awam.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement