PUTRAJAYA: Pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang dijadualkan bermula 1 Jun, ditangguhkan pada suatu tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan dan pengalaman urusan rakyat terus berada pada tahap terbaik.
"Orang ramai masih boleh memperbaharui PMA sedia ada seperti biasa dan pasport yang masih berkuat kuasa kekal sah digunakan sehingga tamat tempoh.
"Sebarang perkembangan lanjut berkaitan pelaksanaan PMA versi baharu akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zakaria berkata pihaknya amat menghargai kerjasama dan sokongan berterusan daripada orang ramai, serta kekal komited dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara dan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Media sebelum ini melaporkan PMA versi baharu yang dilengkapi 94 ciri keselamatan akan dikeluarkan bermula 1 Jun, sekali gus memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara.
-- BERNAMA