Skip to main content

Gaya Hidup

[KOLUMNIS] Vegan Malaysia... Ini cara kita!

veganmalaysia
Dari kiri: Aina Fazlin, Kelvin Goh dan Chef Dave... masing-masing mempunyai cerita tersendiri tentang pilihan pemakanan yang berasaskan tumbuh-tumbuhan.

BARU-BARU ini, saya telah menghadiri dua acara makan-makan vegan atau nabati, dan saya tertanya-tanya, mengapakah tidak lebih banyak acara seumpama ini diadakan?

Green Iftar, anjuran Malaysian Vegetarian Society, Greenpeace Malaysia dan Ummah for Earth, menyambut Tahun Baru Cina dan Ramadhan dengan permainan dan juadah berbuka puasa masakan Cina seperti Yee Sang dan Dim Sum. Pelbagai pengetahuan penjagaan alam sekitar dikongsi, terutamanya mengenai kebolehan hidangan vegan dalam mengurangkan jejak karbon, penggunaan dan pencemaran tanah dan perairan, dan sebagainya.

Raya Hijau, bersempena Hari Bumi dan Hari Raya, adalah anjuran Malaysian Vegetarian Society, Umie Alley Nabati Kitchen dan Taman Hati. Pengalaman dan pendapat mengenai gaya hidup vegan menjadi tajuk perbualan bersama hidangan Melayu seperti Nasi Impit dan Kuah Lodeh. Bengkel pembinaan terrarium juga diadakan, penyusunan bahan alami dalam kaca menanamkan sikap tanggungjawab terhadap kelestarian bumi.

Image
veganmalaysia
Nadi perpaduan dirasai apabila pelbagai lapisan masyarakat, yang terdiri daripada pelbagai agama dan kepercayaan, berkumpul bersama-sama untuk berbuka puasa. - Sumber: Greenpeace Malaysia

Saya telah mendengar banyak kegusaran daripada rakyat Malaysia mengenai diet vegan. “Bolehkah diet vegan membekalkan protein yang mencukupi?” “Adakah ia mudah untuk dilaksanakan dan senang didapati?” “Adakah ia selari dengan agama Islam?”

Oleh itu, saya telah berbincang dengan peneraju gerakan vegan di Malaysia; Chef Dave, pempengaruh media sosial ChefDave VeganJourney, Kelvin Goh, pengasas perniagaan Minf Houze Vegan Cafe, dan Aina Fazlin, presiden Malaysian Vegetarian Society. 
 

Image
veganmalaysia
Chef Dave, 35 mempunyai kepakaran yang luas dalam menyediakan pelbagai hidangan tempatan berasaskan tumbunan, merangkumi masakan India, Cina, Melayu dan lain-lain. Sumber: ChefDave VeganJourney

Chef Dave, 35, giat mengubah tanggapan rakyat Malaysia mengenai masakan berasaskan tumbuhan melalui perkongsian resepi santainya di media sosial. Beliau mula mengamalkan diet vegan apabila timbul rasa untuk tidak lagi menyumbang kepada sektor peternakan komersial.

Melalui kepelbagaian resipi yang telah dikongsi, antara kegemaran penontonnya adalah Nasi Lemak Vegan, Nasi Daun Pisang, Maggi Goreng Mamak, serta kudap-kudapan seperti Murukku dan Vadai.
 

Image
veganmalaysia
(Kiri ke kanan) Vadai berbentuk donut ranggup di luar tetapi gebu dan lembut di dalam; Nasi Lemak Vegan Chef Dave kaya dengan sumber protein tumbuhan seperti tempeh, tauhu, dan ikan bilis vegetarian; Chef Dave memperoleh ilham daripada YouTuber Sugu Pavithra bagi menyediakan hidangan Nasi Daun Pisang dan Peria Goreng. - Sumber: ChefDave VeganJourney

Bagi memenuhi keperluan protein harian, mempelbagaikan sumber protein tumbuhan penting untuk mendapatkan asid amino dengan lengkap. Chef Dave mengutamakan pengambilan tempe, tauhu, kekacang, dhal, kacang kuda, serta pelbagai sayuran hijau. 

Ia juga selari dengan amalan pemakanan leluhur kita. Beliau menjelaskan: 

“Nenek moyang kita tidak terlalu bergantung kepada sumber haiwan dalam makanan seharian mereka. Nenek saya pernah beritahu, makanan berdaging biasanya hanya dihidangkan semasa majlis kenduri atau sambutan istimewa tertentu. Pada waktu itu, ia dianggap sebagai makanan mewah yang mampu dinikmati sekali-sekala. Sebaliknya, mereka lebih bergantung kepada sumber tumbuhan, terutamanya tempe.”
 

Image
veganmalaysia
S. Indramalar (kiri) beralih kepada diet vegan setelah mengamalkan diet vegetarian selama lebih 30 tahun, sementara Kelvin Goh, 48, mula mengamalkan gaya hidup vegan selepas tamat sekolah menengah.

S. Indramalar, 54, seorang penyelidik gender dan editor, gemar menikmati kerepek tempe dan kekacang untuk memenuhi keperluan protein harian. 

Beliau pernah menerima tempahan untuk menghasilkan pelbagai jenis kek. 

“Walaupun saya menyukai akan rasa dan kandungan protein dalam telur, dalam pembuatan kek, saya akan menggunakan Aquafaba. Teksturnya sama seperti putih telur.” 

Kelvin Goh, 48, pengasas Minf Houze Vegan Cafe, menerapkan gaya hidup vegan setelah tamat sekolah menengah untuk mencapai kesejahteraan diri yang lebih memuaskan. “Apabila tubuh badan berada dalam keadaan sihat dan ringan tanpa toksin daging haiwan, ia akan mempengaruhi perwatakan dan corak kelakuan kita.” 

Image
newvegan
Bubur rendah kalori diperkaya dengan lobak merah dan tauhu goreng, serta dihidangkan dengan kacang tanah masin reneh, sayur zaitun, jeruk selada dan sebagainya. - Kelvin Goh
Image
newvegan
Nasi Hainan vegan ialah hidangan tradisional yang disediakan bersama nasi Hainan bersama tauhu goreng, timun, tomato, serta brokoli yang diperasakan dengan sos cendawan pekat. - Kelvin Goh

Apabila ditanya sama ada diet ini mudah dilaksanakan, ia bergantung kepada persediaan dan pilihan yang bijak.

“Saya akan merancang hidangan ringkas lebih awal dan memastikan bekalan makanan ruji seperti nasi, mi, tauhu, dan sayur-sayuran beku sentiasa ada di rumah. Apabila makan di luar, saya akan memilih restoran berdekatan yang menawarkan pelbagai pilihan makanan vegan. Penggunaan sumber dalam talian atau aplikasi telah memudahkan pencarian saya.”

Di dalam perniagaan, beliau giat meneroka lonjakan baharu dalam masakan berasaskan tumbuhan. Ia telah membuahkan hasil melalui penciptaan pelbagai hidangan istimewa seperti Clay Pot Mushroom Rice dan Vegan Pumpkin Cheesecake. 
 

Image
newvegan
Guat Hee Teh, 52, dan Emily Teh, 46, telah menyesuaikan diet vegetarian dan vegan hampir setiap hari bekerja. - Atiqah Aznur
Image
newvegan
Mandala of Five Prosperity merangkumi salad buah-buahan, gulungan jed, cendawan kepala monyet masak Kong Poh, udang sayuran rangup dan cendawan mentega. - Treasure Oasis

“Diet berasaskan tumbuhan mudah diikuti," kata Guat Hee Teh, 52, dan adiknya Emily Teh, 46, pengurus bersama Treasure Oasis. Restoran tempat mereka bekerja menawarkan pelbagai hidangan vegetarian dan vegan yang berkhasiat seperti Mandala of Five Prosperity. 

“Kami mengesyorkan mencuba diet vegetarian dahulu dan mulakan ia dengan beberapa hari. Apabila sudah bersedia, beransur ke diet vegan dengan perlahan. Kita cuba sahaja dengan baik.”
 

Image
veganmalaysia
Aina Fazlin, 46, dan keluarganya memilih untuk mengamalkan diet vegan.

Aina Fazlin, 46, Presiden Persatuan Vegetarian Malaysia, berpendapat bahawa amalan pemakanan vegan mampu memupuk nilai ihsan. Semasa kecil, beliau gemar bermain dengan haiwan di kampung. Apabila timbul rasa enggan memakan haiwan, beliau bertanya kepada Allahyarham datuknya yang pernah berkhidmat sebagai imam masjid, sama ada beliau dibenarkan untuk tidak memakan haiwan. 

“Itu pilihanmu,” jawabnya. ‘Walaupun Islam membenarkan kita memakan daging haiwan, ia tidak bermaksud kita perlu mengambilnya.”
 

Image
veganmalaysia
Banyak lauk-pauk perayaan istiadat Melayu sudah sememangnya vegan, seperti ketupat, masak lodeh, kuah kacang, ulam dan sambal. - Aina Fazlin

Kata-katanya telah membimbing langkah-langkahnya sehingga dewasa. Kini, beliau sebahagian daripada sebuah keluarga vegan. Suaminya telah meneladani gaya pemakanannya dan mereka sedang membesarkan tiga orang anak yang mengamalkan diet yang sama. 

“Anak-anak saya membuat pilihan mereka untuk mengamalkan diet vegan. Pilihan - ia adalah kata kunci yang selalu dibincangkan oleh kami sekeluarga. Kami memilih untuk berfikir tentang jejak apa yang ditinggalkan kepada bumi. Kami memilih untuk memakan dengan sederhana dalam dunia yang serba berlebihan. Semuanya saling berkaitan, iman dan kelestarian alam sekitar.” 
 

Image
veganmalaysia
Suami isteri, Umie Munifa, 49, dan Mohd Ali, 65, tidak terlalu memikirkan tentang tanggapan masyarakat dalam pilihan mereka untuk mengamalkan diet vegan atau nabati. (Gambar kanan) Hidangan pulut kuning nabati selalu dimakan bersama rendang nangka dan serunding cendawan. Sumber: Umie Alley Nabati Kitchen

Umie Munifa, 49, dan Mohd Ali, 65, pengasas Umie Alley Nabati Kitchen, bersama-sama beralih kepada diet vegan selepas mengalami masalah kesihatan yang menuntut pengurangan pengambilan daging. Jadi, mereka menghentikannya sepenuhnya. 

“Kami mengamalkan pemakanan Nabati untuk kesihatan keluarga yang terbukti membuatkan kami semua lebih sihat. Kami yakin, ia bukan hanya Halal, tetapi juga baik dan barokah.” 

“Apabila kita mengamalkan pemakanan vegan atau nabati, walaupun sekali-sekala, kita dapat mengurangkan jejak karbon kita,” ujar Hamizah Shamsudeen, 36, Penggerak Kempen Iklim dan Tenaga di Greenpeace Malaysia. Di samping itu, “industri penternakan, terutamanya pengeluaran daging lembu, adalah penyumbang tertinggi kepada pelepasan gas rumah hijau.” 

Keseimbangan makanan tetap penting dalam diet berasaskan tumbuh-tumbuhan. Ini boleh dicapai melalui panduan pemakanan Suku Suku Separuh oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang mengesyorkan separuh pinggan diisi oleh sayur-sayuran dan buahan-buahan, suku pinggan diisi oleh sumber protein, dan hanya suku pinggan diisi oleh karbohidrat. 
 

Image
newvegan
Sakeenah Omar, 36, bertudung hijau, mengamalkan prinsip La Israf (tidak membazir), melihatnya sebagai tanggungjawab seorang Khilafah (penjaga bumi). - Greenpeace Malaysia

Keseimbangan alam sekitar pula, adalah sebuah ibadah. Sakeenah Omar, 36, Pengasas Ummah for Earth, berpegang kepada prinsip La Israf (tidak membazir). 

“Makanan nabati dapat mencegah pembaziran, mengurangkan sisa, kompos dan kitar semula. Sebagai Khilafah atau penjaga bumi, ia adalah tanggungjawab kita untuk mengambil bahagian makanan yang sederhana dan berkongsi lebihannya.”

Q. 7:31 - “...makan dan minumlah, tetapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang membazir.”
 

Image
newvegan
Sebagai seorang Khilafah atau penjaga bumi, setiap keputusan yang dibuat perlu menitikberatkan kesannya terhadap alam sekitar. - Atiqah Aznur
Image
newvegan
Pengamal diet vegan boleh memastikan pinggan mereka kekal sihat melalui panduan Suku Suku Separuh, dan mendapat sumber protein dari tauhu, tempe dan sebagainya. - Atiqah Aznur

Pengalaman bertemu dengan pelopor-pelopor pemakanan vegan, daripada pelbagai latar belakang dan pegangan, dan merasakan aneka ragam sajian berasaskan nabati dalam berbagai-bagai suasana, telah mendedahkan saya kepada satu perkara:

Apa yang ada di atas pinggan dapat menyembuh atau menyakiti, melestarikan atau merosakkan, diri dan bumi. 


  • Artikel oleh Atiqah Aznur. Beliau merupakan penulis  dan pemerhati bebas dalam bidang berkaitan alam sekitar dan kelestarian hidup.
  • Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang/pemerhatian yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.




     

Must Watch Video