Skip to main content

Malaysia

Kapal GSF singgah sementara di perairan Greece, Turkiye untuk pembaikan - SNCC

BARCELONA, 13 April -- Para aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 memulakan pelayaran mereka di Laut Mediterranean dari Pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza semalam dengan ribuan penyokong dari pelbagai negara berhimpun di Moll de la Fusta.  Misi berkenaan yang bertujuan memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin. Misi berkenaan melibatkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA
Sany Araby berkata hentian teknikal itu, hanyalah bersifat sementara dan tidak melibatkan sebarang pendaratan aktivis ke daratan. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Kapal-kapal Global Sumud Flotilla (GSF) kini berada di perairan sekitar Greece dan Turkiye bagi kerja-kerja pembaikan sistem komunikasi serta enjin, kata Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

Sany Araby dalam kenyataan malam ini berkata hentian teknikal itu, hanyalah bersifat sementara dan tidak melibatkan sebarang pendaratan aktivis ke daratan.

“Keadaan laut bergelora di laluan operasi turut menjadi antara faktor yang mempengaruhi pergerakan semasa kapal-kapal GSF. Kapal-kapal ini dijangka akan meneruskan semula pelayaran menuju ke Gaza pada 17 Mei selepas semua persiapan operasi selesai dilaksanakan," katanya.

Beliau dalam pada itu mengajak rakyat Malaysia untuk terus melaksanakan solat hajat, Qunut Nazilah dan munajat berterusan, demi keselamatan seluruh delegasi misi serta kejayaan usaha pembebasan Gaza.

“SNCC mengajak seluruh rakyat Malaysia bersatu hati untuk lakukan tindakan menggandakan usaha menyebarkan fakta dan sejarah yang sahih, menangkis propaganda jahat rejim serta meningkatkan kesedaran awam melalui semua platform media,” katanya.

Misi GSF kali ini melibatkan hampir 500 peserta antarabangsa daripada 45 negara yang digerakkan pelbagai kumpulan aktivis kemanusiaan dunia.

Sebarang pertanyaan rasmi berkaitan misi dan Palestin boleh dibuat dengan melayari portal rasmi tanya.sumudnusantara.com.

-- BERNAMA

Must Watch Video