Skip to main content

Malaysia

Purata umur perkahwinan penduduk Terengganu meningkat dari 2018-2024 - LPPKN

71474624139_NikahGeneric.jpg
Naimah berkata kecenderungan golongan muda menangguhkan perkahwinan dipengaruhi oleh kos sara hidup, kestabilan pekerjaan, kemampuan memiliki kediaman serta persediaan kewangan dan emosi. - Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Purata umur perkahwinan penduduk di Terengganu menunjukan peningkatan dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, didorong oleh pelbagai faktor luaran serta dalaman.

Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Terengganu Naimah Ibrahim berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, umur purata perkahwinan lelaki meningkat kepada 30.6 tahun pada 2024 berbanding 29.7 tahun pada 2018 manakala bagi perempuan, umur purata meningkat kepada 28.0 tahun berbanding 27.2 tahun bagi tempoh yang sama.

Beliau berkata jumlah perkahwinan pula menurun kepada 7,731 pada 2024, berbanding 10,910 pada 2016, sekali gus memberi kesan kepada kadar kelahiran hidup negeri.

"Penangguhan perkahwinan memberi kesan kepada pembentukan keluarga kerana perkahwinan yang berlaku pada usia lebih lewat akan memendekkan tempoh reproduktif pasangan dan mempengaruhi bilangan anak.

"Walaupun Terengganu mencatat Kadar Kesuburan Jumlah atau Total Fertility (TFR) tertinggi di Malaysia, jumlah kelahiran hidup tetap menurun kepada 23,712 kelahiran pada 2024, berbanding 25,127 kelahiran pada 2023," katanya pada Majlis Sambutan Hari Bapa 2026 Peringkat Negeri Terengganu di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Maliaman Kassim.

Dalam pada itu, Naimah berkata perkembangan tersebut menunjukkan kadar atau tahap kesuburan yang baik tidak semestinya menjamin peningkatan jumlah kelahiran, sebaliknya ia turut dipengaruhi oleh pola perkahwinan, usia ketika berkahwin serta kesediaan pasangan untuk memiliki anak.

Beliau berkata kecenderungan golongan muda menangguhkan perkahwinan dipengaruhi oleh kos sara hidup, kestabilan pekerjaan, kemampuan memiliki kediaman serta persediaan kewangan dan emosi.

"Aspirasi untuk berkahwin dan mempunyai anak masih ada tetapi cabaran kehidupan memerlukan masa lebih panjang untuk mencapai kestabilan sebelum bersedia memikul tanggungjawab berkeluarga.

"Malah dapatan tinjauan pendapat umum yang dilakukan oleh LPPKN dalam kalangan golongan bapa di Terengganu mendapati 83.3 peratus responden menyifatkan kos sara hidup sebagai cabaran terbesar,” katanya.

Sehubungan itu, Naimah berkata LPPKN sebagai agensi kerajaan pusat berusaha menjalankan pelbagai program kesedaran dan pelbagai bentuk sokongan supaya golongan muda dapat membuat keputusan secara matang, sukarela dan bermaklumat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement