Skip to main content

Malaysia

Johari mahu semua 222 Ahli Parlimen anjur Larian Cergas

Sumber: Parlimen Malaysia
Johari (tiga, kanan) berkata Larian Cergas Parlimen edisi pertama itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 600 peserta dari pelbagai negeri. - Foto Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mahu kesemua 222 Ahli Parlimen menganjurkan program Larian Cergas di kawasan masing-masing bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan wakil rakyat dan masyarakat.

Beliau berkata penganjuran larian sejauh 5 kilometer yang julung kali diadakan di pekarangan Bangunan Parlimen hari ini merupakan permulaan kepada inisiatif berkenaan, yang akan dipantau pelaksanaannya di setiap kawasan Parlimen.

"Saya akan pantau semua Ahli Parlimen. Mereka akan menganjurkan larian cergas di kawasan masing-masing dan menyertainya bersama-sama rakyat.

"Kemudian kita akan kumpulkan jumlah jarak larian dari semua kawasan Parlimen, dari Perlis hingga Sabah dan Sarawak. Mungkin kita boleh memecahkan rekod dunia dengan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian," katanya kepada pemberita selepas menyertai Larian Cergas Parlimen 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah serta lebih 20 Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik.

Johari berkata program itu juga bertujuan memperkukuh hubungan antara Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik, selain menjadikan mereka contoh kepada rakyat dalam mengamalkan gaya hidup sihat.

"Sama ada kerajaan atau pembangkang, ini untuk rakyat. Yang penting kita cergas.

"Ahli Parlimen ialah influencer. Mereka sentiasa memimpin rakyat, jadi kenapa tidak dalam soal kesihatan mereka juga memimpin rakyat," katanya.

Beliau berkata inisiatif itu melengkapkan beberapa usaha yang telah dilaksanakan di Parlimen, termasuk amalan hari tanpa gula setiap Rabu serta pemeriksaan kesihatan wajib bagi Ahli Parlimen.

Johari berkata Larian Cergas Parlimen edisi pertama itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 600 peserta dari pelbagai negeri.

"Ini permulaan yang baik dan saya yakin program seperti ini akan terus berkembang di semua kawasan Parlimen," katanya.

Beliau berkata hasil penganjuran larian di semua kawasan Parlimen kelak, jumlah keseluruhan jarak larian akan dikumpulkan sebagai usaha mencatat rekod dunia menerusi penyertaan serentak Ahli Parlimen di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement