Skip to main content

Teknologi

Zambry ucap tahniah kontinjen POLYCC raih 14 pingat FIRA RoboWorld Cup

[TB]_kontinjen POLYCC Malaysia_FB Zambry Abd. Kadir
'Syabas kepada semua yang terlibat. Teruskan melakar kecemerlangan dan mengangkat nama Malaysia di persada dunia,' kata Zambry menerusi hantaran di media sosial. - Facebook Zambry

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengucapkan tahniah kepada kontinjen politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) Malaysia yang berjaya meraih 14 pingat pada pertandingan 31st FIRA RoboWorld Cup & Summit 2026 di Kanada baru-baru ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau berkata kontinjen negara berjaya melangkaui jangkaan dengan membawa pulang enam pingat emas, lima perak dan tiga gangsa.

Katanya kejayaan itu membuktikan bahawa bakat, kemahiran dan keupayaan anak-anak Malaysia, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), mampu bersaing serta mencipta kecemerlangan di pentas antarabangsa.

"Pencapaian ini bukan sekadar kemenangan dalam pertandingan robotik, malah menjadi bukti bahawa ekosistem TVET negara terus melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.

"Syabas kepada semua yang terlibat. Teruskan melakar kecemerlangan dan mengangkat nama Malaysia di persada dunia," katanya.

 

Dalam pertandingan yang berlangsung di Ontorio pada 17 hingga 21 Julai lepas, kontinjen POLYCC yang terdiri daripada wakil Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Politeknik Port Dickson (PPD) dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), bertanding dalam kategori HuroCup, FIRA Air dan Autonomous Car Challenge.

Kontinjen itu berjaya memperbaiki pencapaian pada edisi 2025 di Korea Selatan yang membawa pulang lima pingat emas, tiga perak dan lima gangsa.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement