Skip to main content

Politik

Lagi pemimpin PH gesa laporan RCI Tabung Haji didedahkan

[TB]_Logo Pakatan Harapan PH Tabung Haji TH_FILEPIC
Pemimpin PH menyambut baik cadangan supaya kerajaan mendedahkan Laporan RCI Tabung Haji.

SEREMBAN: Lebih ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) menggesa Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji didedahkan kepada umum dengan segera.

Terbaharu ialah Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, yang mengeluarkan kenyataan bersama Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari dan Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali, hari ini.

Menurut Mujahid, beliau sejak 2023 telah beberapa kali membangkitkan perkara tersebut di Dewan Negara, namun dimaklumkan bahawa laporan berkenaan masih tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Pendirian saya sejak dahulu adalah konsisten. Laporan RCI ini perlu didedahkan agar rakyat mengetahui fakta sebenar dan isu Tabung Haji tidak terus dimanipulasi sebagai bahan politik,” katanya dalam kenyataan itu.

Mujahid berkata pendedahan laporan itu penting khususnya bagi menjelaskan proses pemulihan Tabung Haji yang dilaksanakan antara tahun 2018 hingga 2020.

Beliau yang ketika itu menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata proses penstrukturan semula institusi berkenaan dilakukan ketika Tabung Haji berhadapan defisit hampir RM10 bilion antara aset dan liabilitinya.

Menurut beliau, langkah tersebut diambil bagi menyelamatkan institusi itu dan melindungi kepentingan para pendeposit.

Bagaimanapun, katanya, pelbagai tuduhan dan dakwaan dilemparkan terhadap beliau serta kerajaan Pakatan Harapan sepanjang tempoh pelaksanaan proses pemulihan itu.

Antaranya termasuk dakwaan bahawa aset Tabung Haji dijual kepada pihak bukan Islam serta tuduhan bahawa institusi tersebut telah dirosakkan.

“Tuduhan-tuduhan ini bukan sahaja dimainkan dalam ceramah politik dan media sosial, malah terus diulang sehingga hari ini termasuk dalam kempen pilihan raya,” katanya.

Mujahid berkata beliau telah menjawab dakwaan tersebut menerusi pelbagai saluran termasuk perbahasan terbuka, tindakan undang-undang dan keterangan yang diberikan kepada panel RCI.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa keputusan mahkamah sebelum ini memihak kepadanya termasuk melibatkan permohonan maaf terbuka oleh pihak yang membuat fitnah.

Katanya, beliau juga telah memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja dengan mengemukakan dokumen dan penjelasan yang diperlukan.

“Biarlah rakyat mengetahui sendiri apa sebenarnya yang berlaku kepada Tabung Haji dalam tempoh berkenaan, siapa yang bertanggungjawab terhadap kemelut yang berlaku dan siapa yang telah berusaha memulihkan institusi ini.

“Bagi saya, ini bukan lagi soal politik atau mempertahankan individu. Ini soal menegakkan kebenaran, memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi Tabung Haji dan memastikan fakta mengatasi fitnah,” katanya.

Semalam, desakan yang serupa dikeluarkan dalam kenyataan bersama oleh Setiausaha Agung Amanah Muhammad Faiz Fadzil, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Syahredzan Johan dan Timbalan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Shafi Muhammad.

Must Watch Video

Advertisement