PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap aduan diterimanya berhubung kandungan berunsur 3R (agama, institusi raja, kaum) yang didakwa menghina Islam dimuat naik di platform media sosial Facebook.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan platform komunikasi yang melanggar undang-undang.
Menurut kenyataan itu, MCMC turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bersedia memberikan bantuan teknikal serta kepakaran digital bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan, sekiranya diperlukan.
MCMC memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Penyebaran kandungan sedemikian dipandang serius kerana berpotensi mencetuskan kebencian, menjejaskan perpaduan masyarakat serta menggugat keharmonian antara kaum di negara ini,” menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya itu juga mengingatkan orang ramai supaya menggunakan platform media sosial secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab serta tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan bersifat jelik melampau, penghinaan atau hasutan, khususnya yang melibatkan agama.
-- BERNAMA