HULU KELANG: Kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar kini semakin diterapkan di bangku sekolah apabila Astro menerusi Tabung Rimba Kita bekerjasama dengan Green Growth Asia Foundation (GGAF) melaksanakan Program Eco-Schools di sebuah sekolah di Hulu Kelang.
Program selama dua tahun itu bertujuan mengintegrasikan amalan kelestarian dalam kurikulum sekolah, di samping memperkasakan pelajar agar lebih bertanggungjawab dalam memelihara alam sekitar melalui pengalaman pembelajaran secara langsung.
Eco-Schools merupakan program yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dibangunkan oleh Foundation for Environmental Education dengan pelaksanaannya turut dijalankan di beberapa negara termasuk United Kingdom, Denmark dan Jerman.
Menerusi program itu, pelajar akan menerajui pelbagai projek berkaitan pengurusan air dan sisa serta penjimatan tenaga berdasarkan cabaran unik di sekolah masing-masing.
Pelajar turut diberi tanggungjawab menguruskan projek dengan bimbingan guru selain mengumpul data dan membentangkan hasil dapatan mereka bagi membolehkan sekolah memperoleh pengiktirafan Green Flag, simbol pencapaian dalam pendidikan kelestarian.
Ketua Pegawai Program Pendidikan Hijau GGAF, Sri Themudu Bully Baboo berkata, program itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar mengenai isu alam sekitar, tetapi turut membina keyakinan diri dan kemahiran kepimpinan mereka.
“Adalah penting untuk kami bukan sahaja mendidik para pelajar, malah memberi mereka keyakinan untuk mengendalikan projek serta membentangkan hasil dapatan mereka.
“Melalui projek-projek ini, pelajar dapat menghayati kesedaran mengenai kelestarian dalam kehidupan seharian dan mendorong perubahan positif dalam komuniti,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Program Eco-Schools itu dibiayai menerusi sumbangan orang ramai kepada Tabung Rimba Kita Astro dengan nilai keseluruhan RM70,000.
Menerusi inisiatif itu, Astro dan GGAF berharap lebih ramai generasi muda dapat didedahkan dengan budaya pemuliharaan alam sekitar, sekali gus melahirkan pemimpin masa depan yang lebih peka terhadap kelestarian.
Selain memangkin pendidikan hijau di sekolah, program berkenaan turut membuka peluang kepada pelajar membina jaringan antarabangsa menerusi platform Eco-Schools yang diiktiraf di seluruh dunia.