Skip to main content

Berita

Parlimen: Pelan MHIT Asas dilancar Januari depan tangani inflasi kos perubatan

Liew Chin Tong kredit: Japen
Chin Tong berkata, pelan itu merupakan intervensi kerajaan yang dilaksanakan menerusi kerjasama MoF, BNM dan KKM bagi menangani inflasi kos perubatan secara lebih menyeluruh. - Foto JaPen

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas mulai Januari tahun depan sebagai langkah jangka panjang bagi menangani peningkatan kos perubatan yang memberi kesan kepada industri insurans dan takaful. 

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, pelan itu merupakan intervensi kerajaan yang dilaksanakan menerusi kerjasama Kementerian Kewangan (MoF), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani inflasi kos perubatan secara lebih menyeluruh. 

Beliau berkata, peningkatan kos rawatan bukan semata-mata berpunca daripada syarikat insurans atau pengendali takaful, malah turut dipengaruhi kenaikan kos perkhidmatan di hospital yang memerlukan kawalan lebih berkesan.

"Memang ada banyak cadangan yang dikemukakan jawatankuasa (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) dan ia diterima baik Kementerian Kewangan serta BNM. 

"Mulai Januari tahun depan, Pelan MHIT Asas akan dilancarkan. 

"Ini adalah intervensi kerajaan melalui BNM, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan kerana isu inflasi perubatan dalam sektor insurans bukan hanya berpunca daripada pihak insurans, tetapi juga disebabkan kos rawatan di peringkat hospital yang tidak dikawal," katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Isnin. 

Selain itu, Chin Tong berkata, pelan itu memperkenalkan beberapa mekanisme baharu, termasuk bayaran bersama (co-payment) oleh pemegang polisi serta sistem pembayaran berasaskan Diagnosis Related Group (DRG) bagi mengawal kos rawatan.

Katanya, pendekatan itu bertujuan memastikan kos rawatan bagi kategori penyakit yang sama dapat diselaraskan dan dikawal di semua hospital, sekali gus membantu mewujudkan sistem pembiayaan kesihatan yang lebih mampan.

"Ciri-ciri pelan ini termasuk bayaran bersama oleh pencarum serta pembayaran berasaskan DRG bagi memastikan kos rawatan dalam kategori penyakit yang sama dapat dikawal dan diselaraskan antara hospital.

"Saya berharap mulai tahun depan, melalui Pelan MHIT Asas, kita dapat menyediakan penyelesaian jangka panjang kepada isu inflasi kos perubatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta kerajaan menjelaskan tindakan serta garis masa pelaksanaan syor-syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu insurans dan takaful.

Awang turut meminta penjelasan mengenai pelaksanaan inisiatif Regulatory Enhancement for Sustainable and Efficient Insurance and Takaful (RESET), usaha memastikan pelarasan premium tahunan yang lebih kecil dan stabil, selain langkah menangani dakwaan penolakan tuntutan pesakit serta tindakan menyenarai hitam doktor pakar oleh syarikat insurans.

 

 

Must Watch Video

Advertisement