KUALA LUMPUR: Kerajaan terbuka mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau mekanisme lain yang bersesuaian sekiranya perlu demi kepentingan awam, termasuk berhubung dakwaan Mmafia korporat membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, bagaimanapun berkata sebarang pertimbangan berhubung penubuhan RCI hanya akan dibuat berdasarkan fakta, dapatan serta perkembangan semasa hasil siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius setiap dakwaan yang melibatkan isu mafia korporat dan perkara yang boleh menjejaskan integriti serta keyakinan terhadap institusi awam.
"Pada masa ini, siasatan pihak berkuasa sedang dijalankan bagi meneliti segala dakwaan dan mendapatkan fakta yang lengkap serta sahih.
"Justeru, adalah penting agar proses siasatan ini diberikan ruang dan peluang yang sewajarnya untuk dilaksanakan secara bebas, telus dan menyeluruh mengikut lunas undang-undang serta prosedur yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta penjelasan mengapa Suruhanjaya Siasatan Diraja tidak ditubuhkan bagi menyiasat isu pemilikan saham Azam yang didakwa melebihi had dibenarkan bagi pegawai awam serta dakwaan kewujudan mafia korporat dalam SPRM.
Menurut Azalina, kerajaan berpandangan sebarang tindakan susulan hendaklah berpandukan hasil siasatan bagi memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan fakta, keadilan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Beliau berkata, penubuhan RCI di Malaysia adalah tertakluk kepada peruntukan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Katanya, berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang berkuat kuasa, proses penubuhan RCI bermula dengan penyediaan Memorandum Jemaah Menteri oleh kementerian peneraju sebelum mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Jika diperkenankan, penubuhan RCI akan melibatkan penetapan terma rujukan, keanggotaan dan tempoh siasatan yang dimuktamadkan melalui pewartaan dalam Warta Kerajaan Persekutuan sebelum suruhanjaya itu memulakan fungsinya," katanya.