Skip to main content

Teknologi

Xbox buang 3,200 pekerja, jual lima studio

51746156978_Xbox.jpg
Seramai 1,600 pekerja ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa hari ini, manakala baki pengurangan tenaga kerja akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan akan datang. -Gambar fail

BAHAGIAN permainan video Microsoft, Xbox, memulakan proses pengurangan kira-kira 3,200 tenaga kerja sebagai sebahagian daripada penyusunan semula besar-besaran, sekali gus mengesahkan spekulasi yang beredar sejak dua minggu lalu, lapor Amanz.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Xbox, Asha Sharma, berkata keputusan itu dibuat selepas syarikat berkenaan menilai operasi semasanya tidak lagi mampan susulan kemerosotan pendapatan yang berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan.

Menurut beliau, seramai 1,600 pekerja ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa hari ini, manakala baki pengurangan tenaga kerja akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Langkah itu melibatkan kakitangan dalam beberapa rangkaian utama termasuk Activision, Bethesda/ZeniMax, Blizzard, King, Mojang, dan Xbox Game Studios.

Selain pengurangan tenaga kerja, Xbox turut melepaskan pegangan dalam lima studio pembangunan miliknya iaitu Compulsion Games, Double Fine, Ninja Theory, Undead Labs, dan Arkane Lyon.

Compulsion Games dan Double Fine akan kembali beroperasi sebagai studio bebas, manakala Ninja Theory dan Undead Labs akan berpindah kepada pemilik baharu yang identitinya masih belum didedahkan.

Walau bagaimanapun, status penjualan bagi Arkane Lyon masih dalam penelitian terperinci berikutan perbezaan undang-undang buruh di bawah Kesatuan Eropah (EU) yang membabitkan proses pembuangan pekerja dan penjualan aset.

Dalam nota kepada kakitangan yang turut dikongsi menerusi media sosial, Sharma berkata projek permainan yang telah diumumkan termasuk siri Senua's Saga dan State of Decay 3 akan diteruskan mengikut perancangan.

Beliau berkata proses penstrukturan semula itu akan dilaksanakan serta-merta termasuk pengurangan lapisan pengurusan, pengurangan perbelanjaan terhadap vendor luar dan penyelarasan sistem pengurusan merentasi semua studio di bawah Xbox.

 

Must Watch Video

Advertisement