SAN FRANCISCO: Platform media sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) mengemas kini had aktiviti harian bagi pengguna akaun percuma.
Menerusi kemas kini terbaharu di pusat bantuan, pengguna tanpa langganan berbayar kini hanya dibenarkan menghantar 50 ciapan sehari, berbanding had 2,400 ciapan sehari yang diperkenalkan pada 2023.
Had baharu itu merangkumi aktiviti hantaran utama, termasuk ciapan semula dan petikan, lapor Amanz.
Selain itu, pengguna turut dihadkan kepada maksimum 200 balasan sehari serta sehingga 500 mesej langsung (DM) sehari.
Bagi aktiviti mengikuti akaun, pengguna baharu dibenarkan mengikuti sehingga 400 akaun sehari, dengan sekatan nisbah pengikut mula dikuatkuasakan selepas mencapai 5,000 akaun diikuti.
Langkah itu dipercayai bertujuan mengurangkan aktiviti akaun automatik atau bot yang sering digunakan untuk menyebarkan spam dan penipuan dalam talian.
Pengguna yang ingin mendapatkan akses lebih luas perlu melanggan pelan premium X Basic, X Premium atau X Premium+.
Setakat ini, pihak pengurusan X masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung sebab di sebalik penetapan had baharu tersebut.