BEIJING: Presiden China Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengadakan “pertukaran pandangan yang konstruktif” mengenai kecerdasan buatan (AI) dan bersetuju untuk mengadakan dialog antara kerajaan mengenai teknologi itu semasa lawatan pemimpin AS berkenaan ke Beijing minggu lepas, menurut Kementerian Luar China pada Selasa.
Jurucakap Kementerian Luar Guo Jiakun memberitahu sidang media bahawa dua kuasa utama AI dunia itu “perlu bekerjasama untuk menggalakkan pembangunan dan menambah baik tadbir urus AI bagi memastikan ia menyumbang dengan lebih baik kepada kemajuan tamadun manusia dan kesejahteraan bersama komuniti antarabangsa”, lapor Kyodo News.
Selepas pertemuan selama dua hari dengan Xi sehingga Jumaat, Trump memberitahu pemberita di dalam pesawat Air Force One bahawa “kami membincangkan kemungkinan untuk bekerjasama bagi mewujudkan mekanisme kawalan.”
Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent berkata dalam wawancara dengan saluran berita perniagaan AS CNBC pada Khamis bahawa kedua-dua negara akan mewujudkan satu protokol bagi memajukan AI secara selamat untuk memastikan “pelaku bukan negara tidak menguasai” model AI.
Kedua-dua negara itu merupakan pesaing dalam pembangunan teknologi AI.
-- BERNAMA-KYODO