Skip to main content

Teknologi

Video prototaip Project Aion dedah konsep sistem operasi AI Microsoft

Sumber: AMANZ
Antara ciri yang dipaparkan ialah fungsi Spaces, yang membolehkan aplikasi dan laman web dikelompokkan mengikut tugasan atau konteks kerja bagi memudahkan pengguna menyambung semula aktiviti mereka. -Foto Amanz

REDMOND: Rakaman video prototaip Project Aion, iaitu projek dalaman Microsoft yang membayangkan sistem operasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), Copilot dan pelayar web Microsoft Edge, dilaporkan tersebar di internet baru-baru ini, lapor Amanz.

Video yang dipercayai dirakam sekitar 2024 itu menunjukkan sistem operasi ringan yang berasaskan web dan mempunyai ciri yang menyerupai ChromeOS, dengan sebahagian besar operasinya bergantung kepada aplikasi web serta perkhidmatan awan.

Berdasarkan rakaman tersebut, Project Aion tidak memfokuskan kepada penggunaan aplikasi desktop tradisional Windows. Sebaliknya, sokongan bagi aplikasi Win32 dicadangkan melalui perkhidmatan awan seperti Windows 365.

Antara ciri yang dipaparkan ialah fungsi Spaces, yang membolehkan aplikasi dan laman web dikelompokkan mengikut tugasan atau konteks kerja bagi memudahkan pengguna menyambung semula aktiviti mereka.

Rakaman itu turut menunjukkan antara muka yang meletakkan Copilot sebagai pusat kawalan utama sistem, menggantikan sebahagian fungsi tradisional seperti menu Start dan pelancar aplikasi konvensional.

Bagaimanapun, sebahagian ciri yang dipaparkan masih berada pada peringkat konsep dan tidak berfungsi sepenuhnya ketika video tersebut dirakam.

Setakat ini Microsoft belum mengulas secara rasmi mengenai kebocoran tersebut.

Laporan industri bagaimanapun menyatakan Project Aion dipercayai tidak lagi diteruskan dalam bentuk asalnya, dengan banyak ciri AI kini dibangunkan terus dalam Windows 11 dan perkhidmatan Copilot sedia ada.

 

Must Watch Video

Advertisement