Skip to main content

Malaysia

16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan akan diluluskan semula - MB

PASIR MAS, 12 Mac -- Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud ditemui pemberita sempena Majlis Ihya Ramadan dan Penyerahan Dana Zakat Wakalah di Sekolah Menengah Ugama SMU (A) Tarbiah Diniah Meranti hari ini.
Mohd Nassuruddin. - Gambar fail/BERNAMA

PASIR MAS: Sebanyak 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang sebelum ini dibatalkan Mahkamah Persekutuan, akan diluluskan semula di Sidang Dewan Undangan (DUN) Kelantan pada persidangan terdekat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, perkara itu mendapat kelulusan di peringkat Exco.

“Dalam persidangan DUN Kelantan yang terdekat ini kita akan lulus kembali undang-undang yang sudah dibatalkan oleh mahkamah apabila ada orang Kelantan sendiri yang mencabar undang-undang syariah Islam dalam bab takzir ini.

“Kita akan bawa semula dan di peringkat Exco dah diluluskan. Segala perjuangan kita tidak putus asa, ada orang batal, kita bawa balik, dia batal lagi, kita bawa semula balik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Pas Kawasan Pasir Mas yang dirasmikan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di sini hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata, usaha mempertahankan pelaksanaan undang-undang syariah di Kelantan akan diteruskan meskipun berdepan cabaran di mahkamah.

Sebelum ini, pada 9 Februari 2024, Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan majoriti 8-1 mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah kerana Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal kesalahan yang berada dalam bidang kuasa Persekutuan.

Keputusan itu dibuat susulan petisyen yang difailkan oleh seorang peguam dari Kelantan, sekali gus mencetuskan perbahasan mengenai pembahagian bidang kuasa antara Persekutuan dan negeri dalam penggubalan undang-undang jenayah syariah.

Sebelumnya, peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang berasal dari Kelantan dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu terus ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan dan menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai responden tunggal.

Kedua-dua beranak itu mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 mendakwa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

Mengulas mengenai hala tuju politik, Mohd Nassuruddin turut menyifatkan pilihan raya akan datang sebagai amat penting bagi memastikan kuasa politik negara terus dipimpin oleh orang Melayu dan umat Islam.

Menurutnya, penyertaan Pas dalam pilihan raya adalah hasil ijtihad ulama bagi memperjuangkan Islam melalui sistem demokrasi.

“Pilihan raya kali ini sangat penting, kita bimbang kuasa politik negara akan ditentukan oleh golongan bukan Islam yang ekstrem menentang Islam, oleh itu, kita mesti memastikan kuasa politik dipegang oleh orang Melayu, iaitu penduduk asal negara ini yang majoritinya beragama Islam.

“Kita memperjuangkan Islam melalui demokrasi, ulama kita berijtihad supaya menyertai pilihan raya dan ijtihad itu terbukti tepat apabila kita berjaya mentadbir Kelantan dan Terengganu serta melaksanakan Islam mengikut kuasa yang diperuntukkan,” katanya.

Beliau turut menyeru ahli Pas terus istiqamah mempertahankan perjuangan parti dan memperkukuhkan sokongan menjelang pilihan raya akan datang.  - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement