Skip to main content

Sukan

Piala Dunia: Colombia tewaskan Ghana 1-0, mara ke pusingan 16

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Round of 32 - Colombia v Ghana - Kansas City Stadium, Kansas City, Missouri, U.S. - July 3, 2026 Ghana's Lawrence Ati Zigi in action with Colombia's Luis Suarez IMAGN IMAGES via Reuters/Jay Biggerstaff
Colombia akan berdepan Switzerland, yang menewaskan Algeria 2-0 pada Khamis, bagi merebut tempat ke suku akhir. - Foto Reuters

KANSAS CITY: Kemenangan tipis 1-0 ke atas Ghana pada Jumaat sudah memadai untuk Colombia mengesahkan slot terakhir ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Colombia akan berdepan Switzerland, yang menewaskan Algeria 2-0 pada Khamis, bagi merebut tempat ke suku akhir sekali gus menyamai pencapaian terbaik mereka di pentas Piala Dunia.

Jhon Arias menjaringkan gol kemenangan berharga itu pada minit ke-14, yang juga merupakan gol pertamanya dalam kejohanan berkenaan.

Pemain gantian Luis Suarez mempamerkan aksi cemerlang di bahagian kanan sebelum melakukan hantaran lintang kepada Arias yang tidak dikawal, sekali gus mudah menolak bola ke dalam gawang.

Suarez dimasukkan pada minit kelapan bagi menggantikan Jhon Cordoba yang tidak dapat meneruskan permainan selepas dipercayai mengalami kecederaan groin.

Penjaga gol Ghana Lawrence Ati Zigi melakukan aksi menyelamat cemerlang untuk menafikan jaringan kedua Colombia menerusi Johan Mojica sebelum tamat babak pertama, manakala Luis Diaz menjaringkan gol pada minit ke-56, namun dibatalkan kerana ofsaid.

Zigi sekali lagi mengecewakan Diaz menerusi percubaan dari jarak dekat dua minit kemudian, manakala penjaga gol itu turut menggagalkan percubaan Davinson Sanchez pada minit ke-81.

Bagaimanapun, kerja keras Zigi tidak mencukupi untuk menyelamatkan Ghana yang gagal mencari gol penyamaan sekali gus menghidupkan peluang mereka untuk mara.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement