KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan terus memperkukuh pembangunan modal insan menerusi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan sektor strategik berimpak tinggi.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata usaha itu penting bagi memastikan rakyat Sabah tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital, yang sedang mengubah landskap pekerjaan, pendidikan dan pembangunan ekonomi.
“Ini akan membantu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir yang bersedia memenuhi keperluan industri masa depan, khususnya dalam bidang AI, teknologi digital serta sektor strategik berimpak tinggi yang lain,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Dr Andi Md Shamsureezal.
Beliau berkata AI sedang mengubah cara manusia bekerja, manakala kemunculan berterusan teknologi baharu menuntut industri dan profesion untuk terus menyesuaikan diri.
Hajiji berkata integrasi AI, analitik data raya, pembelajaran mesin dan platform digital dalam setiap aspek kehidupan manusia sedang mengubah landskap pendidikan, perdagangan, tadbir urus serta interaksi sosial.
“Bagi universiti di seluruh Asia, keadaan ini membawa peluang yang luar biasa, namun pada masa yang sama turut menghadirkan cabaran yang besar. Peluang tersebut terletak pada keupayaan kita untuk mencapai golongan pembelajar yang sebelum ini sukar diakses melalui platform dalam talian, mikrokelayakan, bilik darjah maya dan pembelajaran diperibadikan yang dibantu AI,” katanya.
Ketua Menteri turut berbesar hati apabila dimaklumkan bahawa ASAIHL 2026 menarik penyertaan peserta dari lapan negara, iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Iran, Uzbekistan, Kemboja dan Perancis.
Beliau turut memuji UMS atas peranannya menerusi program jangkauan, inisiatif pembangunan profesional dan aktiviti libat urus komuniti dalam memperkukuh kedudukannya sebagai rakan pembelajaran sepanjang hayat kepada rakyat Sabah.
-- BERNAMA