SEOUL: Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi Korea Selatan (PIPC) mengenakan denda sebanyak 10.3 bilion won (kira-kira RM29 juta) terhadap platform media sosial TikTok kerana didakwa melanggar peraturan perlindungan data pengguna, lapor Amanz.
Siasatan badan pengawal selia itu mendapati pengendali perkhidmatan, TikTok Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, mengumpul data aktiviti dalam talian milik 9.45 juta pengguna di Korea Selatan tanpa notis atau kebenaran yang mencukupi bagi tujuan pengiklanan bersasar.
PIPC berkata pengumpulan maklumat tingkah laku pengguna itu dilakukan menerusi alat penjejakan seperti TikTok Pixel dan Events SDK yang digunakan oleh lebih 71,000 aplikasi dan laman web pihak ketiga di negara berkenaan.
Sementara itu, dua anak syarikat Apple turut didapati gagal mematuhi keperluan perlindungan privasi apabila menggunakan rakaman suara dan transkrip teks daripada fungsi pembantu digital Siri untuk tujuan penambahbaikan perkhidmatan tanpa kebenaran berasingan pengguna.
Dua entiti terbabit, Apple Distribution International dan Apple Services, turut didapati gagal memperincikan maklumat berkaitan pemindahan data pengguna ke Amerika Syarikat menerusi dasar privasi mereka.
Bagaimanapun, Apple dilaporkan memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan, termasuk memperkenalkan antara muka baharu bagi mendapatkan kebenaran penggunaan data suara.
Syarikat itu turut bersetuju membayar denda pentadbiran berjumlah 252 juta won (kira-kira RM704,000).