SEOUL: Gergasi teknologi Samsung melancarkan teknologi storan mudah alih generasi baharu, UFS 5.0 yang direka untuk mempercepat pemprosesan kecerdasan buatan (AI) pada peranti, lapor Amanz.
Storan itu dibangunkan berasaskan standard memori tertanam terkini daripada JEDEC bagi menyokong pemprosesan model bahasa besar (LLM) serta aplikasi AI secara terus pada peranti tanpa bergantung kepada sistem awan.
Dengan peningkatan lebar jalur, aplikasi berasaskan AI seperti kamera pintar dan terjemahan masa nyata dapat berfungsi dengan lebih pantas dan responsif.
Dari segi prestasi, UFS 5.0 mampu membaca data pada kelajuan sehingga 10.8GB sesaat (GB/s) dan menulis sehingga 9.5GB/s, iaitu lebih dua kali ganda berbanding storan UFS 4.1.
Selain itu, cip storan tersebut turut menampilkan reka bentuk lebih kompak serta penggunaan teknologi seperti clock gating dan multi-voltage bagi meningkatkan kecekapan tenaga.
Pendekatan itu membolehkan penggunaan kuasa dikurangkan lebih 40 peratus, sekali gus membantu memanjangkan jangka hayat bateri peranti tanpa menjejaskan prestasi.
Samsung menjangka pengeluaran besar-besaran UFS 5.0 bermula pada suku keempat 2026 dengan penawaran kapasiti sehingga 1TB.